Bengkel pupuk budaya kitar semula kalangan pendidik, pelajar

MEMUPUK KREATIVITI… Dalam memupuk kreativiti golongan pendidik dan pelajar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Kitar Semula Barangan Terpakai baru-baru ini.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Foo Kok Beng berkata, bengkel tersebut menfokuskan kepada inisiatif kitar semula barangan seperti kotak minuman untuk dijadikan produk kraftangan.

“Ini merupakan satu inisiatif MBPP dalam memupuk budaya kitar semula dalam kalangan pelajar. Apabila kembali ke sekolah, guru-guru yang hadir boleh memberi tunjuk ajar kepada murid-murid.

“Saya difahamkan sebanyak 105 sekolah menyatakan minat untuk menyertai program ini. Sebagai permulaan, kita (MBPP) menjemput 25 wakil sebagai kelompok pertama dan pendekatan tersebut akan diteruskan dengan kumpulan seterusnya,” ucapnya pada penganjuran berkenaan.