Berani untuk berubah, tema sambutan Hari Wanita 2017

Admin

PANTAI JEREJAK – Sambutan Hari Wanita 2017 disifatkan sebagai platform terbaik bagi meraikan pencapaian golongan wanita bertepatan dengan temanya, Berani Untuk Berubah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, pemilihan tema tersebut adalah bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan wanita sebagai ‘game changer’.

“Wanita seharusnya lebih berani untuk menjadi agen perubahan buat diri sendiri, keluarga, organisasi, masyarakat, negeri dan juga negara.

“Golongan wanita mesti mempunyai sikap daya maju diri, percaya kepada kebolehan diri sendiri dan barulah kita (golongan wanita) boleh merubah nasib serta masa depan diri,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2017 bersama-sama kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pengerusi Puspanita PDC, Datin Asliza Abdul Jali dan para kakitangan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) serta PDC.

Mengikut Indeks Jurang Gender Antarabangsa, Malaysia kini berada di tangga 106 daripada 144 negara di dunia berdasarkan jurang peluang ekonomi dan politik membabitkan golongan wanita.

Mengambil inspirasi daripada Datuk Nicol Ann David dam Datin Paduka Marina Mahathir yang masing-masing merupakan wanita berjaya dalam bidang diceburi, Soo Huey menyatakan bahawa golongan Hawa tidak seharusnya terus berselindung di belakang (golongan) lelaki, sebaliknya perlu mengetahui kaedah menyelesaikan masalah serta menghadapi cabaran secara sendiri.

“Masyarakat kini seharusnya keluar daripada kepompong peranan tradisional yang lazimnya diterapkan mengikut jantina dalam kehidupan berkeluarga, contohnya golongan wanita serta anak-anak perempuan hanya didedahkan dengan persekitaran rumah membabitkan kerja-kerja rumah seperti membasuh dan memasak.

“Perkara ini perlu berubah yang mana anakanak kita kini perlu dididik dan dipupuk dari kecil untuk sama-sama menghadapi cabaran secara seimbang.

“Berikan peluang sama rata kepada keduaduanya agar apabila besar kelak, mereka lebih berani untuk berhadapan dengan apa jua situasi dalam dunia yang mencabar kini,” seru beliau.