Berbakti kepada tanah janji kepuasan tersendiri

OOI Han Pore memetik hasil tanaman jagungnya.
OOI Han Pore memetik hasil tanaman jagungnya.

 

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

DALAM beberapa siri kunjungan penulis ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal, tidak pernah terlintas ataupun dibawa melalui kawasan perkampungan masyarakat berketurunan Cina di sini.

 

Uniknya, dalam komuniti kecil tersebut, majoriti penduduk berketurunan Cina di Kampung Setoi, Pinang Tunggal merupakan petani.

 

Diperturunkan secara turun-temurun, ada yang telah memasuki generasi ke-empat, aktiviti yang menjadi sumber rezeki utama tersebut masih diteruskan anak-anak muda keluarga petani asal kawasan berkenaan.

 

Bagi Ooi Han Pore, 43, beliau mewarisi ilmu pertanian daripada ayah dan datuknya iaitu diperturunkan daripada empat generasi sebelum ini.

 

“Sebelum ini, saya bekerja dalam bidang pemasaran, tapi tak okay.

 

“Makan gaji kena tahan kerenah orang. Lebih baik tanam sayur, asal rajin, pasti boleh hidup,” katanya pada sesi wawancara bersama-sama Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Dengan keluasan tanah seluas lapan ekar yang dimilikinya sendiri dan juga disewa, Han Pore mengusahakan pelbagai tanaman sayur secara bergilir-gilir. Ini termasuk sayur mayung, bendi, serai, peria, lada, jagung, kasturi, keladi dan lain-lain.

 

Tidak dinafikan, beliau menyatakan bahawa tidak ramai anak muda yang ingin menjadi petani.

 

TANAMAN keladi yang diusahakan.
TANAMAN keladi yang diusahakan.

“Mereka (golongan muda) terasa dipandang rendah dan menganggap petani adalah suatu kerjaya yang tidak glamour, tidak menguntungkan dan kotor.

 

“Bagi saya, cuma mereka yang tak tahu dan tak faham bidang ini (pertanian) sahaja yang merasakan begitu.

 

“Menjadi petani ada kelebihannya, juga tidak semua yang mampu menjadi petani kerana bidang ini memerlukan minat serta kesabaran baru boleh buat,” katanya yang memiliki lapan adik-beradik.

 

Selain faktor cuaca, pasaran semasa sayur-sayuran merupakan cabaran yang perlu dihadapi golongan petani seperti Han Pore.

 

“Jika ramai yang tanam jenis sayuran sama, maka, pasaran akan jadi rendah. Ia bergantung kepada nasib dan perancangan kita,” jawabnya yang pernah kerugian kira-kira RM10,000 ekoran tanaman musnah ditiup angin kencang.

 

Setiap hari, beliau yang telah berpindah ke Sungai Petani, Kedah berulang-alik ke ladang sayur yang juga kampung kelahirannya. Rutin beliau adalah bermula seawal 7 pagi hingga 7 petang.

 

“Macam masuk office,” jawabnya yang dikurniakan tiga cahaya mata sambil tersenyum.

 

Turut bersama pada sesi temubual tersebut adalah rakan Han Pore yang juga merupakan petani sepenuh masa.

 

NG Lean Hooi menunjukkan isi keladi yang ditanam beliau.
NG Lean Hooi menunjukkan isi keladi yang ditanam beliau.

Hanya berusia 33 tahun,  Ng Lean Hooi mengusahakan tanah kira-kira seluas 10 ekar (sendiri, sewa dan dikongsi) bersama-sama abangnya.

 

“Bergiat dalam bidang pertanian boleh survive, tapi nak kaya tak boleh. Tak sesenang yang dilaporkan pihak media, bidang pertanian adalah tidak semewah itu.

 

“Kena ada pengalaman baru boleh berjaya. Contohnya, seseorang petani hanya mampu menjana keuntungan pada tahun kedua. Tahun pertama adalah memerlukan modal yang amat tinggi, ini tidak ditambah lagi dengan beberapa masalah seperti bencana, kecurian, pekerja lari, harga pasaran yang tidak menentu,”ujar beliau yang tidak pernah menyesal memilih bidang pertanian sebagai sumber rezeki utama keluarganya.

 

Pernah berkhidmat sebagai seorang agen insurans, Lean Hooi merasakan bidang kerjayanya sebelum ini adalah penuh dengan tekanan.

 

“Tekanan bekerja di bandar dan juga kena report dengan bos tidak sesuai dengan saya. Saya lebih suka kehidupan di kampung,” katanya yang menjadi petani sepenuh masa sejak lima tahun lalu.

 

Berbeza daripada rakannya (Han Pore), minat Lean Hooi adalah  lebih kepada tanaman berupa buah-buahan seperti jambu.

 

“Pengalaman ayah kira-kira 30 tahun mengusahakan tanaman jambu diturunkan kepada saya. Bagaimanapun, pada masa sama, saya turut mengusahakan tanaman sayur seperti bendi, kacang panjang dan keladi bergantung kepada pasaran.

 

“Berdasarkan pengalaman, pokok buah yang paling susah ditanam adalah mangga dan keladi. Bagi tanaman keladi, berbanding dulu, tanaman tersebut kini perlu disuntik ubat lebih kerap bagi mengelakkan daunnya kering dan berbuah kecil,” jelas beliau tanpa mengetahui sebabnya ia berlaku sedemikian.

 

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Lean Hooi menyatakan bahawa beliau memperoleh kepuasan dengan berbakti kepada tanah.

 

“Prinsip dipegang saya ialah, ayah tanam sayur boleh sara kami sekeluarga, maknanya saya boleh buat dengan lebih baik lagi,” katanya mengakhiri sesi berkenaan.

 

 

 

INFO :

Ooi Han Pore : 012 – 483 22152

Ng Lean Hooi : 012 – 431 8983