Bergerak Medic berjaya didik penduduk

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BERAPIT – Program pemeriksaan kesihatan percuma Bergerak Medic anjuran pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam berjaya mendidik penduduk setempat untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Kenyataan tersebut terbukti apabila kebanyakan penduduk hadir bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan susulan pada penganjuran berikutnya di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimennya, Steven Sim Chee Keong ketika ditemui berkata, pemeriksaan berulang tersebut menandakan bahawa penduduk setempat semakin sedar akan kepentingan akan menjaga tahap kesihatan masing-masing.

“Dalam masa tiga jam penganjuran, terdapat kira-kira 150 penduduk datang mendapatkan pemeriksaan secara percuma ini.

“Terdapat juga penduduk yang datang untuk mendapatkan pemeriksaan ulangan selepas tempoh tiga bulan daripada tarikh penganjuran sebelum ini di kawasan ini,” katanya pada penganjuran program Bergerak Medic di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Chee Keong turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan di kediaman masing-masing ekoran kes denggi yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

“Penduduk perlu sentiasa mengambil berat tahap kebersihan di sekitar kediaman masing-masing dan juga perlu sentiasa jalankan aktiviti gotong-royong bagi membasmi wabak denggi di negeri ini,’’ ujar beliau.