Beri input melalui aplikasi Belanjawan Bersama – MPPP 2015

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Semua warga Pulau Pinang boleh menyumbang dan memberi input ke arah proses pengubalan belanjawan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan hanya memuat turun aplikasi, Belanjawan Bersama menerusi telefon bimbit pintar masing-masing.

Aplikasi atas inisiatif khas dua Ahli Majlis MPPP, Mohd. Hariszuan Jaharudin dan Chris Lee Chun Kit tersebut bagaimanapun bukan platform rasmi, sebaliknya, tambahan kepada saluran sedia ada yang disediakan MPPP sebelumnya.

Mohd. Hariszuan berkata, aplikasi berkenaan merupakan segmen bagi menggalakkan masyarakat memberi input kepada MPPP mengenai cara belanjawan diguna serta disalurkan mengikut permintaan serta pendapat masing-masing.

“Walaupun ini bukannya platform rasmi, ianya berperanan sebagai sokongan kepada pihak kerajaan tempatan dalam proses pengubalan belanjawan tahun hadapan (2015).

“Penglibatan lebih ramai masyarakat adalah faktor penting kerana sifat kerajaan tempatan itu sendiri yang berurusan dengan perkara seharian bersifat lokal seperti pengurusan jalan, infrastruktur, kebersihan dan lain- lain.

“Umumnya, penglibatan ini akan mempengaruhi keputusan yang bakal dilaksanakan kemudiannya,” ujarnya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Majlis MPPP, Mhd. Nasir Yahya dan Dr. Tan Kim Hooi. Tambah Mohd. Hariszuan, aplikasi yang dibangunkan itu juga berperanan sebagai medium pendidikan.

“Aplikasi ini akan membantu masyarakat memahami fungsi dan peranan MPPP.

“Ia boleh digunakan sebagai semakan terhadap pecahan belanjawan sedia ada, sama ada menepati keutamaan masyarakat atau sebaliknya,” jelas beliau.

Pautan aplikasi boleh dimuat turun dari Google Play di bawah carian Belanjawan Bersama – MPPP 2015 atau melalui laman sesawang, Citizen Action Technology (CAT) Penang di http://car.betterpg.com .