Bersemadilah MH17 dengan tenang

SUASANA di perkarangan foyer tingkat bawah Komtar pada 22 Ogos lalu.

Oleh: YAP LEE YING & AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Suasana pilu jelas menyelubungi perkarangan foyer tingkat bawah bangunan Komtar apabila rata-rata individu dari pelbagai lapisan masyarakat berkumpul dengan berpakaian hitam serta suram hadir menyaksikan layar besar siaran langsung Hari Berkabung Malaysia Bagi Memperingati Mangsa MH17 di sini pada 22 Ogos lalu.

Majlis khas peringkat negeri Pulau Pinang tersebut diadakan bersempena ‘kepulangan’ kumpulan pertama 20 jenazah rakyat Malaysia ke tanahair selepas penantian selama 37 hari sejak pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) terbabit ditembak jatuh di Timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Kemuncak upacara tersebut adalah pada detik 10.55 pagi iaitu apabila Negara mengumumkan untuk bersama-sama bertafakur selama satu minit bagi memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi zalim berkenaan.

Majlis kemudian disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor kepada mangsa beragama Islam dan bertafakur kepada jenazah bukan Islam.

Ada yang menitiskan air mata. Ada juga yang hanya membisu. Yang pasti, tragedi tersebut meninggalkan kesan amat mendalam kepada kita yang bergelar rakyat Malaysia.

Mengetuai upacara majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sambil ditemani isterinya, Betty Chew Gek Cheng.

Turut mengiringi, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, barisan Exco, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Turut serta, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan, Ketua-ketua jabatan, para penjawat awam serta masyarakat umum.

Guan Eng mewakili Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah buat semua keluarga mangsa nahas pesawat MAS MH17.

Katanya, majlis ringkas tersebut adalah sebagai tanda simpati dan solidariti terutama kepada keluarga mangsa-mangsa kezaliman akibat kemelut perebutan kuasa di kawasan Ukraine. Kerajaan Negeri menzahirkan perasaan amat berdukacita, sedih dan pilu dengan tragedi berkenaan.

Sesungguhnya hari ini merupakan hari yang amat menyedihkan bukan sahaja kepada seluruh anggota keluarga, rakan taulan dan kenalan mangsa-mangsa tragedi pesawat MH17, tetapi turut dirasai oleh semua rakyat di seluruh dunia.

Ratapan kesedihan ini turut disusuli kecaman keras sekali lagi terhadap pihak tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati perut yang bertindak menembak pesawat komersial MH17 sehingga menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak-anak kapal termasuk tiga orang bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan nafsu kezaliman akibat kemelut perebutan kuasa,’’ tegasnya pada Hari Berkabung Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang Bagi Memperingati Mangsa MH17 di sini baru-baru ini.

Kumpulan 20 jenazah pertama rakyat Malaysia dibawa menggunakan pesawat khas MAS, Boeing 747-4H6F (9M-MPS), MH6129 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam ada 21 Ogos lalu (kira-kira jam 3.40 petang waktu tempatan dan 9.40 malam waktu Malaysia). Perjalanan terus tanpa henti itu mengambil masa kira-kira 12 jam.

Setibanya di Dataran Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekitar 9.55 pagi pada 22 Ogos 2014, 20 jenazah terdiri daripada 11 beragama Islam dan sembilan bukan Islam diusung pegawai istiadat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan diberi penghormatan mengikut agama masing-masing serta bertafakur.

Penerbangan MH17, pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia terhempas dipercayai ditembak di wilayah Donetsk, Timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lalu.

Selamat pulang dan bersemadilah dengan tenang di bumi Malaysia.