Bidang ternakan mampu jana keuntungan – Md. Zain

MD. Zain Salleh meletakkan makanan kepada lembu-lembunya.
MD. Zain Salleh meletakkan makanan kepada lembu-lembunya.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

BERMULA dengan dua ekor lembu yang diternak bagi mengisi masa lapang, kini, Md. Zain Salleh, 66, merupakan pemilik kepada 16 ekor haiwan ternakan berkenaan di Kampung Tok Bedu, Pinang Tunggal, Seberang Perai Utara (SPU).

 

Beliau yang agak pemalu orangnya menyatakan bahawa cabaran dalam bidang tersebut adalah faktor penyakit.

 

“Walaupun lembu lebih lasak daripada kambing, jika tidak dijaga, ia akan diserang penyakit jua.

 

“Kebersihan kandang adalah perlu dijaga. Di sini, kandang dibersihkan dua kali sehari. Malah, lembu-lembu juga dimandikan sekali sehari iaitu pada waktu petang.

 

“Selain takut bau, ia juga bagi mengelak merebaknya penyakit kuku dan mulut,’’ katanya kepada skuad jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, selain faktor kesihatan, cabaran dalam bidang ternakan lembu adalah bagi memastikan binatang jinak tersebut tidak memasuki kawasan bendang atau padi orang lain.

 

SEBAHAGIAN lembu ternakan baka tempatan yang dibela.
SEBAHAGIAN lembu ternakan baka tempatan yang dibela.

“Lembu elok dilepaskan bebas. Namun, perlu dijaga dan dipantau. Masuk padi orang lain, orang marah.

 

“Pada waktu malam pula, kena datang tengok sebab banyak kes curi lembu guna sumpit pelali. Seekor lembu dilarikan, maka RM2,000 akan hilang,’’ keluh Md. Zain yang pernah mengalami nasib sedemikian.

 

Berkongsi dengan lebih lanjut, beliau yang sebelum ini merupakan bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya tidak menafikan bahawa bidang ternakan kurang diminati golongan muda kini.

 

Merujuk kepada anaknya sendiri, Md. Zain yang dikurniakan lima cahaya mata bagaimanapun terpaksa mengharapkan anak saudaranya untuk menjaga lembu-lembu ternakannya sekiranya beliau melancong ke luar negeri atau negara.

 

“Anak-anak dok luar, tak minat. Kalau tak larat, anak saudara yang tinggal berdekatan akan ambil alih.

 

“Anak muda kini anggap kerja (bidang ternakan) adalah kotor. Dia orang tak nampak keuntungan yang mampu dijana daripada bidang ini.

 

“Saya amat galakkan anak-anak muda menceburi bidang ini kerana ia mampu jana keuntungan, tambahan pula, jika ada modal besar,’’ ulasnya sambil tersenyum.

 

Menurut beliau, permintaan terhadap bekalan daging adalah amat tinggi. Bekalan sedia ada adalah tidak mencukupi terutamanya menjelang musim perayaan.

 

Bagi Md. Zain, lembu tempatan iaitu baka dari Kedah dan Kelantan adalah lebih enak dagingnya. Ia kurang lemak dan bersaiz sederhana.

 

“Saiz paling besar bagi lembu baka tempatan adalah seberat 150 kilogram.

 

“Pemakanan merupakan faktor penting bagi menentukan tumbesaran seseekor lembu. Rahsia lembu dapat membesar dengan lebih cepat adalah perlunya sumber pemakanan protein yang mencukupi.

 

“Protein seperti hampas soya, batang jagung merupakan antara pemakanan yang mempengaruhi daging lembu dan saiz yang mana lembu nampak gemuk, tetapi ia kurang lemak,’’ jelas beliau yang meminati bidang ternakan sejak kecil.

 

Tidak dinafikan, minat yang disemai adalah hasil pengaruh orang tuanya.

 

“Sejak kecil, orang tua dah bela binatang. Memang menjadi rutin harian saya untuk ‘halau’ lembu-lembu dibela ayah untuk makan rumput di padang dan kemudian ‘halau’ balik kandang pada waktu petang.

 

“Ada sekali pada musim hujan, semasa ‘halau’ lembu-lembu balik, saya jatuh dalam bendang dan jumpa ular.

 

“Pacat, cari rumput memang perkara biasa dan menjadi rutin. Lama-lama, dah jadi minat pula,’’ selorohnya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.

 

Kini, Md. Zain bersyukur minatnya dalam bidang ternakan mampu menjana pendapatan bagi beliau selepas pencen daripada perkhidmatan.

 

“Dari duk saje-saje, dapatlah sikit-sikit. Duk rumah saje, sakit badan. Orang tua-tua memang macam tuh.

 

“Nak buat besar-besaran, tak cukup modal,’’ seloroh beliau mengakhiri sesi temuramah berkenaan.

 

 

 

INFO :

012 – 443 9632