#BMyHomeTown promosi warisan tidak ketara pekan Bukit Mertajam

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BERAPIT – Jalanan santai sejauh 1.1 kilometer (km) #BMyHomeTown yang disertai kira-kira 100 komuniti setempat dan kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini mengisahkan mengenai lima destinasi pelancongan warisan menarik di sekitar Pekan Bukit Mertajam di sini.

Atas tujuan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPSP, Nur Faradila Fahruddin memberitahu, pihaknya turut menerbitkan risalah ‘BM Walk Discover Hidden Route Map’ demi mempromosi keunikan warisan tidak ketara yang terdapat di pekan lama di sini.

“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk mempromosi sejarah Bukit Mertajam, pada setiap hentian akan kita dengar pelbagai pengkisahan yang mungkin kita tidak pernah dengar sebelum ini, apakah nilai sejarah yang menarik di sebalik pembangunan perbandaran Pekan Bukit Mertajam,” ujarnya yang mengetuai Ketua Pasukan #BMyHomeTown pada penganjuran berkaitan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hadir menyempurnakan acara pelepasan peserta, dari perkarangan Sekolah Tinggi Jit Sin yang didirikan seawal tahun 1959 dan merupakan salah satu mercu identiti pekan lama Bukit Mertajam.

Dari sini, semua peserta berjalan ke Kuil Tua Pek Kong, Pasar Bukit Mertajam, kediaman bekas Ketua Menteri Tan Sri Datuk Wong Pow Nee dan Sin Wen Heng Claypot, sambil mendengar sendiri pengkisahan menarik mengenai tiap-tiap destinasi tuju warisan tidak ketara tersebut.

Jason H’ng Mooi Lye, Heng Yeh Shiuan dan K. Kumar merupakan antara Ahli Majlis MPSP yang hadir menyertai program buat julung kalinya dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama komuniti setempat Pekan Lama Bukit Mertajam.