Bola sepak persahabatan erat silaturahim

MENDEBARKAN… Satu tendangan gol daripada Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang jelas memusnahkan impian pasukan bola sepak Penang Press Club untuk sekurang-kurangnya memperoleh keputusan seri pada Perlawanan Bola Sepak
Persahabatan Dengan Pejabat Exco Pembangunan Pelancongan di sini baru-baru ini.

Pasukan Pejabat Exco Pembangunan Pelancongan yang dianggotai Pegawai-pegawai Seranta dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jelutong bermula garang mendahului separuh masa pertama dengan tiga kosong sambil gol kedua dijaringkan sendiri oleh Heng Kiang.

Aksi berbalas gol di Stadium Bandaraya pada separuh masa kedua oleh kedua-dua pasukan bertambah rancak apabila masing-masing dihadiahkan sepakan penalti, sebelum Pasukan Pejabat Exco Pembangunan Pelancongan menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan menuju minit akhir lalu memperoleh kemenangan 5 – 4.

Menurut Heng Kiang, perlawanan persahabatan sedemikian kini kerap dijalankan antara wakil-wakil Kerajaan Negeri dan pihak-pihak luar berkepentingan dalam mengeratkan hubungan di samping menyihatkan badan.