Boleh dimakan begitu saja, unik bawang goreng Salbiah

SALBIAH Sahat.
SALBIAH Sahat.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

SUDAH 10 tahun lamanya bawang goreng Makcik Salbiah berada di pasaran sekitar Penanti, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Perusahaan yang dimulakan bagi mengisi masa terluang sebagai suri rumah kini menjadi sumber rezeki beliau yang berasal dari Kampung Tun Sardon, Penanti.

 

Dikurniakan empat cahaya mata, Makcik Salbiah atau nama sebenarnya, Salbiah Sahat, 59, mula mengusahakan perusahaan tersebut secara kecil-kecilan sejak tahun 1996.

 

“Selepas itu, apabila Jabatan Pertanian mewujudkan program Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW), Makcik dan tiga rakan lagi (syarat empat orang sekumpulan) bercadang membentuk satu kumpulan mengusahakan produk berkaitan.

 

“Selain itu, turut diusahakan adalah kuih kapal terbang yang juga dipanggil kuih tiram, lidah buaya atau lidah jin dan kuih muruku,” kata beliau yang peramah perwatakannya.

 

Bermula dengan 4 kilogram (kg) bawang, kini angka pemprosesannya telah mencecah 40kg yang diproses tiga kali seminggu.

 

“Dulu, masa mula-mula buat, semua guna tangan. Dari kupas bawang, potong dan kemudian goreng.

 

“Empat orang ‘buat’ 4kg bawang, ambil masa kira-kira satu jam juga. Baju semua basah sebab air mata keluar pedih kupas dan potong bawang…nak buat macam mana, kalau pakai spec (kaca mata), tak nampak, jawabnya, ambik tisu lap je lah!” ujarnya sambil tersenyum.

 

SALAH seorang kakitangan sedang menggoreng bawang yang telah siap dipotong.
SALAH seorang kakitangan sedang menggoreng bawang yang telah siap dipotong.

Pada tahap permulaan, disebabkan belum lagi memperoleh sebarang bantuan peralatan daripada agensi-agensi berkaitan, semua bawang dipotong sendiri.

 

“Masalahnya, bawang yang dipotong dengan tangan mempunyai ketebalan berbeza sehingga menyebabkan hasil (bawang) yang digoreng adalah  tidak sekata dan tidak garing.

 

“Selain itu, asal-usul bawang juga adalah penting bagi memastikan kualiti bawang goreng yang dihasilkan. Kebiasaannya, Makcik menggunakan bekalan bawang merah yang diimport dari Burma (Kemboja). Ini kerana, ia mempunyai rasa manis dan aromanya adalah amat wangi.

 

“Berbeza dengan bawang (merah) dari India yang mana ia akan menjadi cepat hitam apabila digoreng. Rasanya juga lain,” jelas beliau yang kini dikurniakan empat orang cucu kini.

 

Selepas setahun lebih berusaha, akhirnya Makcik Salbiah berjaya memperoleh bantuan peralatan memotong bawang. Sebagai tambahan, bagi membantu golongan ibu tunggal di sekitar kampungnya memperoleh pendapatan tambahan, upah mengupas sebanyak 25 sen bagi 1kg bawang telah ‘diagihkan’ kepada pihak berkenaan.

 

BAWANG goreng yang telah siap dipek.
BAWANG goreng yang telah siap dipek.

Sebagaimana pengusaha-pengusaha lain, pada peringkat permulaan, Makcik Salbiah menyatakan bahawa beliau menggunakan tempoh masa kira-kira sebulan untuk mencari pasaran bagi produk keluarannya.

 

“Makcik bawa ke kedai dan minta dia orang cuba. Bila tauke kata okay, baru saya hantar.

 

“Disebabkan kekangan dan faktor pengangkutan, hanya kedai-kedai runcit tempatan atau sekitar Tasek Gelugor sahaja yang mampu dipromosi.

 

“Itupun, apabila terdapat banyak persaingan dan produk pengeluar lain banyak tidak habis dijual, tauke kedai akan minta supaya Makcik perlahankan penghantaran produk.

 

“Ini adalah bagi membolehkan mereka (tauke) menghabiskan stok sedia ada dulu,” kata Makcik Salbiah.

 

Tidak putus asa dan terus melihat potensi perusahaan tersebut, Makcik Salbiah yang kini dibantu dua kakitangan amat berbangga dengan produk keluarannya.

 

“Apa yang unik mengenai bawang goreng Makcik ialah ianya menggunakan bahan-bahan tradisional, rangup, tahan lama dan boleh dimakan begitu sahaja!” jawab beliau.

 

Bagi perancangan masa depan, Makcik Salbiah berhasrat untuk mengembang serta mempelbagaikan lagi produk-produk perusahaannya.

 

“Kini, muruku, kuih karas dan kuih kapal terbang atau tiram dibuat berdasarkan permintaan ataupun pada musim perayaan.

 

“Sekiranya ada peluang, adalah menjadi hasrat supaya kuih-kuih ini dipasarkan dengan lebih meluas. Begitu juga dengan produk bawang goreng,” seru beliau.

 

Mengakhiri sesi temubual pada hari tersebut, Makcik Salbiah memohon sekiranya ada pihak yang sudi menyumbang alat pengering bawang dan pek pembungkusan bawang goreng kepada beliau.

 

 

INFO :

No. 2012 MK19, Kampung Tun Sardon, 14000 Bukit Mertajam.

Tel. : 016 – 466 6561 / 016 – 438 8345

 d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);