Buat aduan jika sewa lebih peratusan lulus

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membuat penyelarasan semula gara-gara kadar baru di sembilan sewa gerai dan lima kompleks makanan diadu mengalami kenaikkan melebihi 100 peratus.

Yang di-Pertua MPSP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif menjelaskan kesemua sembilan pasar awam terbabit sejak era Kerajaan Negeri lalu pada tahun 2008 telahpun diberi diskaun serta kadar sewa di bawah garis bayaran standard yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“RM65 sepatutnya kadar lama standard untuk gerai jenis sayur tetap, gerai jenis sama di Pasar Awam Tasek Gelugor umpamanya sejak dulu lagi menikmati diskaun RM52 sebulan.

“Kita telah menetapkan kenaikkan berdasarkan kadar sewa lama, iaitu, RM104 sebulan jika dahulu mereka menyewa RM52 (sebulan) supaya kenaikkan tiga lagi baik melebihi 100 peratus seperti dipertikai sebelum ini,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, gerai terbabit adalah Kompleks Penjaja Pasar Awam Chai Leng Park, Pasar Awam Seberang Jaya, Gerai Khinzir Pekan Kepala Batas, Pasar Awam Taman Berjaya, Pasar Awam Sungai Dua, Pasar Awam Tasek Gelugor, Pasar Awam Sri Penanti, Pasar Awam Sungai Bakap,

Pasar Awam Berapit, Kompleks Makanan Lebih Kurau 5, Kompleks Makanan Sungai Puyu, Kompleks Makanan Teluk Air Tawar Indah, Kompleks Makanan PPS Jalan Perusahaan 8A dan Kompleks Makanan PPS Jalan Perusahaan 8B.

Tambah Maimunah, penyewa gerai dialu-alukan membuat aduan di Jabatan Pelesenan MPSP sekiranya masih terdapat kenaikkan melebihi peratusan diluluskan, iaitu 100 peratus bagi kelas 1, 60 peratus bagi kelas 2, 40 peratus bagi kelas tiga dan 20 peratus bagi kelas 4.

“Empat kategori atau kelas ini berdasarkan perniagaan yang diamalkan serta lokasi dinilai secara munasabah,” ujarnya.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Pelesenan, Mohd. Ibrahim Md. Nor menjelaskan, jumlah kutipan sewa untuk kesemua 65 kompleks makanan dan 29 pasar awam di Seberang Perai pada tahun 2013 adalah berjumlah RM3,498,684, manakala, RM4,418,502 pula adalah kos perbelanjaan.

“Kenaikkan ini tidak dapat dielakkan lagi apabila MPSP dikenal pasti menanggung kurangan kewangan kira- kira RM919,818 pada tahun lepas, apabila kos penyelenggaraan jelas melebihi jumlah kutipan kita (di Jabatan Pelesenan),” jelas Mohd. Ibrahim.

MPSP direkodkan melakukan semakan kadar sewaan serta dinaikkan dua kali sebelum ini, iaitu pada 10 Januari 1967 dan 1 Januari 1992.