Buku ‘Bergerak Ke Arah Sisa Sifar’ didik masyarakat amalan kitar semula

Admin

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

SEBERANG JAYA – Pelbagai inisiatif dilaksanakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk mencapai matlamat kadar kitar semula sebanyak 70 peratus menjelang 2022.

Terbaru, MPSP dengan kerjasama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah meluncurkan sebuah buku ‘Bergerak Ke Arah Sisa Sifar’ yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dan sumber inspirasi kepada masyarakat dalam menjaga alam sekitar.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, penerbitan buku itu diyakini dapat melahirkan masyarakat sihat dan peka terhadap isu-isu alam sekitar bagi diseimbangkan dengan perkembangan ekonomi serta pembangunan sosial.

“Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat, dan ia adalah sangat mudah difahami kerana disertakan dengan gambar serta pelakunya pula adalah penduduk dan pelajar sekolah di Seberang Perai.

“Malah, pengalaman saya sendiri dalam menggiatkan ‘zero waste community’ di Kampung Permatang Nibong di samping
pengalaman penggiat kitar semula oleh pegawai MPSP dan CAP turut diceritakan di dalam buku ini,” ujarnya semasa meluncurkan buku berkenaan di sini barubaru ini. Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Timbalan Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader; dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Mengulas lanjut, kata Rozali, Seberang Perai telah berjaya meningkatkan kadar kitar semula iaitu daripada 22 peratus pada tahun 2008 kepada 43.25 peratus (2017), manakala kadar penghasilan sampah pula didapati berkurang daripada 1.6 kilogram (kg) sehari kepada 1.09kg dalam tempoh masa sama.

“Berdasarkan pencapaian tersebut, MPSP telah menetapkan sasaran untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 70 peratus dan beratan sampah ke tapak pelupusan dikurangkan sehingga 50 peratus pada tahun 2022.

“Saya yakin sasaran ini boleh dicapai kerana penduduk Seberang Perai telah maju dalam segi pemikiran dan penjagaan alam sekitar.

“Oleh itu, kerjasama daripada semua komuniti di seluruh Pulau Pinang untuk memaksimumkan kadar kitar semula dan meminimumkan sisa lebihan adalah amat dialu-alukan,” serunya.