Bumbung Astaka Air Itam dinaik taraf selepas tempoh kira-kira 30 tahun

NAIK TARAF BUMBUNG ASTAKA… Inisiatif lawatan program Sedia Mendengar pada awal tahun ini membuahkan hasil apabila sejumlah RM140,000 diperuntukan bagi usaha menaik taraf bumbung Astaka Air Itam di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, delegasi program berkaitan diketuai oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

“Ekoran peruntukan yang diberikan, kerja-kerja yang dimulakan pada 14 Ogos lalu kini sudah siap fasa satu di bahagian penjaja makanan dan minuman… manakala fasa dua akan diteruskan di bahagian peniaga barangan am bersebelahan.

“Bumbung baharu ini adalah lebih sejuk jika dibandingkan dengan bumbung lama yang tidak pernah ditukar sejak 30 hingga 40 tahun lalu.

“Ini termasuk maklum balas yang turut diterima daripada para peniaga seperti masalah kebocoran, termasuk serpihan bumbung yang sering jatuh dan situasi tersebut membimbangkan mereka,” jelasnya pada sesi lawatan khas di sini baru-baru ini.

Menurut Hon Wai, fasa dua dijangka siap pada 13 Disember 2018.