Campuran bahan semulajadi rahsia johan tandas bersih

Oleh : YAP LEE YING

SEBERANG JAYA – Kekecewaan meraih gelaran johan pada Pertandingan Tandas Bersih Peringkat Negeri Pulau Pinang 2015 menyuntik semangat Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh, Daerah Barat Daya (DBD) untuk membuat penambahbaikan perlu.

Hasilnya, pada pertandingan tahun ini (2016), sekolah yang dahulunya dikenali sebagai SK Pulau Betong berjaya merangkul gelaran johan bagi Kategori Sekolah Rendah. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), SK Tan Sri Awang Had Salleh, Khodijah Hassan ketika ditemui wakil Buletin Mutiara berkata, pihaknya menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan lapan tandas sekolah (masing-masing empat tandas perempuan, lelaki, 4) berada dalam keadaan bersih.

“Kami tambahkan keceriaan di dalam tandas dengan menggunakan campuran daun pandan, limau purut dan bunga cengkih untuk cegah bau busuk tandas.

“Pada masa sama, ia juga dapat mencegah populasi lipas,” katanya berkongsi rahsia kemenangan pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Tandas Bersih Peringkat Negeri Pulau Pinang 2016 di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan; Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud; barisan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr. Saduruddin Gulam Husein.

Pertandingan Tandas Bersih Peringkat Negeri Pulau Pinang 2016 diadakan bersempena Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2016 yang diadakan pada 22 Oktober lalu di pusat membeli-belah Mydin Bukit Mertajam, Jalan Baru, Perda.

Kompleks Makanan Taman Sentosa, Nibong Tebal berjaya mengekalkan kejuaraan apabila diumumkan sebagai johan bagi Kategori Tandas Milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); Masjid Bukit Panchor muncul johan dalam Kategori Masjid yang kali pertama diperkenalkan pada penganjuran tahun ini.

Dalam pada itu, bagi johan Kategori Jabatan Kerajaan iaitu Klinik Kesihatan Penaga, Ketua Jururawat, Hasnirah Ahmad memberitahu bahawa beliau berkongsi kemenangan tersebut bersama-sama kakitangan klinik yang begitu komited dalam menjaga kebersihan tandas.

“Kami menang dalam kategori yang sama tiga tahun lalu. Selepas itu, kami ‘berehat’ kerana ingin membuka peluang kepada pihak-pihak lain juga.

“Tahun ini, hasil kerjasama dan komitmen semua kakitangan, pemantauan berterusan serta tindakan pantas yang diambil sekiranya tandas tersumbat, akhirnya membuahkan hasil.

“Saya lahirkan rasa gembira dan penghargaan. Tanpa mereka (kakitangan) dan komitmen cleaner, anugerah ini memang mustahil untuk dicapai,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam ucapan Ramasamy, beliau menekankan bahawa kebersihan tandas bukan perkara yang harus dipandang enteng dan Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama serta bantuan rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan politik dalam mengatasi rungutan tandas awam yang tidak diselia dengan sempurna.

“Adalah tidak adil sekiranya kita (Kerajaan Negeri) membelanjakan wang rakyat bagi memberikan kesedaran tentang pentingnya kebersihan tandas, namun pengakhirannya mentaliti masyarakat masih di takuk lama.

“Kita semua bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang hidup dalam persekitaran yang berkualiti dan bersih. Untuk ke arah tersebut, masyarakat hari ini perlu dibudayakan dengan konsep kehidupan yang lebih peka dan sensitif terhadap kebersihan,” katanya pada berkaitan.

Penganjuran berkaitan merupakan majlis sambutan tahun keempat bertemakan,

“Tandas Bersih, Pulau Pinang Lestari” oleh Kerajaan Negeri sebagai sebahagian daripada inisiatif di bawah dasar Cleaner, Greener, Healthier and Safer Penang yang dilaksanakan melalui kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MPSP.

Majlis tersebut juga adalah bersempena sambutan Hari Tandas Sedunia yang disambut pada 19 November pada setiap tahun, iaitu sebagai satu tanda peringatan dan penghargaan kepada keperluan dan kepentingan tandas di dalam kehidupan harian manusia.