CFAL 2015 bakal rentasi tiga negeri

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
PADANG KOTA– Ekoran kejayaan penganjuran program Kempen Satu Lorong Basikal (CFAL) di sini sejak enam tahun lalu, Kerajaan Negeri
bakal memperluaskan prospek acara tersebut membabitkan kayuhan ke tiga negeri tahun depan.
Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika melepaskan 4,200 peserta CFAL Ke-6 2014 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, CFAL yang mendapat tajaan daripada syarikat pemaju, Ideal Property Sdn. Bhd. akan dikenali sebagai Ideal Property CFAL pada penganjuran tahun depan yang mana akan diadakan di Seberang Perai.

“Apa yang menarik, Ideal Property CFAL ini akan merentasi tiga negeri serentak dengan jarak kayuhan sejauh 120 kilometer melalui kawasan di negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

“Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta Kelab Berbasikal LP akan menjadi penganjur bersama,” ujar beliau.

Ideal Property CFAL dijangka berlangsung pada 4 Januari tahun depan dan pendaftaran telah dibuka sejak 22 Ogos lalu.

Memeriahkan gimik majlis pelepasan tersebut, Guan Eng bersama isteri, Betty Chew Gek Cheng turut berbasikal dari Padang Kota hingga persisir pantai pusat membeli-belah Queensbay Mall.

CFAL merupakan kempen  dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan Kerajaan Negeri bagi memupuk kesedaran kepada pengguna kenderaan bermotor supaya lebih prihatin kepada penunggang basikal.

Kempen yang dimulakan sejak enam tahun lalu pada mulanya hanya mendapat sambutan kira-kira 500 pengayuh basikal berbanding jumlah
kini, 4,200 peserta.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Patahiyah Ismail, Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Presiden Persatuan Berbasikal Kelab G, Dr Lim Seh Guan dan Pengerusi Penganjur CFAL Ke-6, Khengg Teng.