Cipta robot guna bahan terbuang jana pulangan lumayan

O l e h : WATAWA NATA F ZULKIFLI

PERAI – Bukan mudah menghasilkan model robot filem Hollywood terkemuka Transformer daripada bahan – bahan terbuang, namun, itulah yang dibuktikan Hong Wee Chan, 40, yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,188 dalam pertandingan diadakan di sini baru-baru ini.

Bagi Wee Chan, beliau tidak menjangka projek y ang di siapkan dalam masa sehari atas dasar suka-suka mampu menjuarai pertandingan berkenaan dengan pungutan 405 undi daripada orang ramai.

“Pertama sekali, saya amat gembira kerana modal yang dikeluarkan adalah sangat kecil iaitu hanya digunakan untuk membeli motor dan lampu sahaja.

Bahagian-bahagian lain diperoleh dari stor rumah saya,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Sebanyak 18 penyertaan diterima dalam pertandingan mencipta model robot Transformer menggunakan bahan-bahan terbuang anjuran pawagam, Mega Cineplex Sdn. Bhd. tersebut.

Tempat kedua dengan hadiah bernilai RM1,288 dimenangi Hong Studio, manakala tempat ketiga, Lim Ooi Loon (RM 888).

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Menurut Boon Poh, pertandingan sebegitu dapat menggalakkan masyarakat berfikir di luar kotak.

“Bukan mudah menghasilkan sesuatu menggunakan daya kreativiti menggunakan bahan-bahan terbuang di sekeliling kita,’’ ujar beliau.