City Walk tarik 5,000 penyertaan

GEORGE TOWN – Acara berjalan kaki santai, City Walk 2017 (City Walk) yang diadakan pada 1 Januari lalu mendapat sambutan kira-kira 5,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Pelepasan para peserta tepat pada jam 7.30 pagi di Lebuh Pantai di sini disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang mewakili Ketua Menteri. Mohd. Rashid dalam ucapan ringkasnya berkata, jumlah penyertaan City Walk yang diterima saban tahun membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap program berkenaan.

“Acara-acara seumpama ini sememangnya dekat di hati masyarakat Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri.

“Kita bukan sahaja dapat beriadah secara sihat dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan kawankawan, malah juga menikmati keindahan serta keunikan bandar raya George Town yang kini semakin terkenal selepas pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH),” ujarnya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di sini baru-baru ini.

Program anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tersebut berlangsung seawal 6.30 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk acara cabutan bertuah. Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Ir. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.} else {