Cityliner sedia dua bas laluan baru Machang Bubuk

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

MACHANG BUBUK – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap agar kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menjamin kelangsungan pembangunan lestari di negeri ini.

Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Pelancaran Laluan Bas Machang Bubuk ke Bukit Mertajam di Taman Machang Bubuk di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, laluan baru tersebut tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama pihak SPAD yang telah memberikan permit kepada operator bas, Syarikat Bas Cityliner (Cityliner) untuk menjalankan perkhidmatan di sini.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat terutama sekali SPAD yang sanggup bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha untuk mewujudkan laluan berkenaan asalnya datang daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon untuk kemudahan penduduk setempat.

“Laluan baru ini merangkumi lokasi-lokasi strategik yang mana melalui kawasan-kawasan perumahan yang sebelum ini tidak mempunyai perkhidmatan bas.

“Ini secara tidak langsung dapat memudahkan penduduk setempat bergerak tanpa perlu berjalan jauh ke jalan utama,” kata beliau.

Buat permulaan, pihak Cityliner akan menyediakan dua bas yang bakal merangkumi jarak sejauh 12 kilometer dengan frekuensi setiap 40 minit.

“Perjalanan terawal akan bermula pada jam 7.15 pagi dari Machang Bubuk ke Bukit Mertajam, manakala terakhir akan tamat pada 5.40 petang.

“Jadual perjalanan bas ini dijangka akan memberi kemudahan kepada penduduk di sini terutamanya murid-murid sekolah,” tambah Kon Yeow.