Cukup bahan, cukup rasa, maka sedaplah kuih – Mak Limah

Admin
HALIMAH Muhammed atau Mak Limah.
HALIMAH Muhammed atau Mak Limah.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

PADA usia 70 tahun, Mak Limah masih mampu menghasilkan kira-kira 40 jenis kuih untuk dijual di pasar malam sekitar Seberang Perai pada setiap hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Sabtu.

 

Malah, menjelang bulan Ramadan, tempahannya adalah berganda. Begitupun, usia tidak pernah menghalang beliau untuk terus memenuhi permintaan para pelanggannya.

 

Tidak dinafikan, minat dan keseronokan berniaga mengatasi segala-galanya.

 

Minat Mak Limah atau nama sebenar, Halimah Muhammed yang berasal dari Pantai Remis, Perak dan kini menetap di Pintas Siakap 2, Taman Siakap, Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) dalam bidang pembuatan kuih disemai sejak zaman remaja lagi.

 

“Sekitar usia 17 tahun, Makcik tengok orang tua-tua buat kuih talam. Apabila Makcik balik dan cuba buat, kuih jadi keras sikit sebab kurang air.

 

“Esok Makcik cuba lagi sampai betul-betul jadi,” kata beliau yang amat peramah perwatakannya.

PELBAGAI jenis kuih yang dihasilkan.
PELBAGAI jenis kuih yang dihasilkan.

Berkongsi dengan lebih lanjut, Mak Limah menyatakan bahawa kuih popianya adalah amat istimewa walaupun amat mencabar dirinya.

 

“Semuanya Makcik buat sendiri. Dari kulitnya, potong inti, balut dan kemudian goreng, termasuk buat yang basah sekali.

 

“Kuih popia, Makcik belajar buat daripada kawan-kawan masa tinggal di berek polis di Batu 5, Tampoi, Johor ketika mengikut arwah suami bertugas di sana.

 

“Masa mula buat, tak sedap dan langsung tak jadi. Kawan-kawan komen itu ini dan sambil-sambil bagi petua untuk sedapkan popia…sudah-sudah, menjadi juga!,” katanya sambil tersenyum lebar.

 

Pada tempoh itu juga, Mak Limah begitu tertarik apabila melihat orang berniaga kuih, malah, pada ketika itu jugalah terdetik dalam sanubari beliau untuk menceburi bidang berkaitan suatu hari kelak.

 

17 tahun di Johor, akhirnya Mak Limah bersama-sama arwah suaminya kembali ke Pulau Pinang.

 

“Ketika berpindah balik, Makcik menyewa sebuah rumah di Lorong Siakap II. Masa itu juga Makcik mula berniaga menjual popia dengan harga 20 sen satu.

 

“Hari pertama berniaga dapat untung RM17, rasa amat seronok sekali. Lepas itu, buat lagi dan tambah macam-macam kuih lagi, rasa seronok tiap-tiap hari dapat duit.

 

“Perasaannya lain dibandingkan dengan orang yang makan gaji,” ujar Mak Limah yang dikurniakan tiga cahaya mata.

 

Ketika ditanya mengenai resepi dan petua kuih-muihnya yang sedap, Mak Limah menyatakan bahawa ia adalah resipi turun temurun.

 

“Takdak rahsia apa-apa. Buat macam biasa. Cukup masak, cukup bahan, cukup rasa, cukup garam, maka sedaplah kuih,” jawabnya yang tidak pernah lokek ilmu berhubung resipi kuih-muih beliau.

 

Malah, nyata Mak Limah, terdapat ramai pelanggan yang datang memeluk dan berterima kasih kepada beliau ekoran berjaya membuat kuih-muih hasil resipi yang dikongsinya.

 

Selain popia, antara kuih-muih yang dihasilkan adalah tepung talam, seri muka, sagu, kuih lapis, nasi himpit, gado-gado, bengkang ubi dan pelbagai lagi.

 

Kini, Mak Limah yang dikurniakan 12 orang cucu bersyukur kerana anak keduanya menyambung warisan perniagaan yang diusahakan beliau.

 

“Juga atas minat, kini, anak sudah pandai buat semua jenis kuih yang Makcik buat.

 

“Makcik bersyukur dan harap dia (anak) dapat meneruskan apa yang ada dan maju lagi,” nyata Mak Limah yang masih sedia menerima tempahan termasuk menjelang sambutan hari peerayaan seperti Hari Raya, kenduri, majlis hari lahir dan lain-lain.

 

Sebelum mengakhiri sesi temuramah berkaitan, Mak Limah berkongsi satu coretan manis daripada salah seorang pelanggan yang memberi kepuasan kepada dirinya untuk meneruskan apa yang diusahakan selama ini.

 

Sapa pelanggan berkaitan :

 

“Makcik jual kuih lagi?

 

“Dari bujang saya makan kuih makcik, kini, anak saya pun dah umur 34 tahun.

 

Dengan rasa bangga dan terharu, Mak Limah menjawab :

 

“Habis, apa Makcik nak buat kalau tak jual kuih!” sambil disusuli dengan gelak ketawa beliau.

 

 

 

INFO :

No. Tel. : 012 – 388 2071 atau 04 – 390 3867

 }