Cuma 10 minit setiap minggu, perangi denggi!

Gambar : J. PATMA VATH Y

PERAI – Dalam usaha menggalakkan tindakbalas berterusan menerusi penglibatan masyarakat ke arah mencegah penularan wabak denggi, satu Kempen Kesihatan dan Keselamatan dilancarkan di Taman Inderawasih di sini barubaru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, kempen tersebut memberi tumpuan ke arah usaha-usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca penyakit denggi dan
chikungunya.

“Baik di dalam mahupun di luar rumah, tempat-tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dimusnahkan.

“Tak lama, cuma perlu 10 minit setiap minggu membersihkan kawasan rumah, usaha itu mampu membendung pembiakan nyamuk aedes sekaligus memerangi wabak denggi,” ucapnya pada Majlis Perasmian Kempen Kesihatan dan Keselamatan anjuran Pejabat Khidmat ADUN Perai, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah di sini baru-baru ini.

Serentak itu, Ramasamy turut merasmikan pembukaan Bilik Gerakan Pasukan COMBI atau Communication for Behavioral Impact bagi memudahkan pengoperasian pelbagai program gotong-royong di kawasan tersebut.

Selain ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Inderawasih, turut hadir, Ahli-ahli Majlis MPSP, David P. Marshel dan M. Satees.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II dalam pada itu menyeru semua pihak supaya membersihkan kawasan rumah dan tempat-tempat pembiakan nyamuk sekurangkurangnya seminggu sekali.

“Aktiviti pengasapan (fogging) hanya membunuh nyamuk dewasa bukan jentik-jentik, sebab itu, kita perlu bekerjasama membersihkan kediaman dan persekitaran (rumah) masing-masing,” seru beliau.