Daftar APBIM rebut hadiah kereta

Gambar: A L I S S A L A THIAN

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang mempelawa orang ramai mengambil bahagian dalam kejohanan Asics Penang Bridge International Marathon 2015 (APBIM) terutamanya bagi merebut hadiah cabutan bertuah berupa Proton Iriz dan Proton Saga.

Katanya, tajaan dua buah kereta daripada pihak Proton Edar Sdn. Bhd. merupakan tarikan utama pengajuran tahun ini.

“Berbanding tahun-tahun sebelum ini, tahun ini, dua buah kereta menjadi rebutan para peserta yang mengambil bahagian,’’ katanya pada Majlis Pelancaran APBIM 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, wakil-wakil barisan penaja.

Turut diadakan adalah pertunjukan fesyen yang memperagakan baju kejohanan yang menarik.

Tambah Heng Kiang, larian pada tahun ini mensasarkan 30,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.

“Sebagaimana penganjuran sebelum ini, empat kategori pertandingan menjadi taruhan iaitu, Maraton Penuh 42 kilometer (km) untuk Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita; Separuh Maraton 21km (Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita); 10km Terbuka (Lelaki dan Wanita) serta 10km (Junior Lelaki dan Junior Wanita) dan Larian Ria (Fun Run) 8km,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat barangan sukan, Asics Sports yang terus menjadi penaja utama bagi kejohanan marathon terbesar di Malaysia berkaitan.

Tarikh tutup pendaftaran APBIM 2015 adalah pada 31 Oktober 2015. Bagi yang berminat, daftar melalui http:// penangmarathon.gov.my/portal atau melalui Facebook, Penang Bridge International Marathon 2015.