Daftar pengundi melalui ‘Jelajah Jawi’

Admin

JAWI – Program ‘Jelajah Jawi’ yang dianjurkan saban minggu oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee di sini berusaha mendaftar seramai mungkin pengundi baharu dan muda, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Justeru, Lip Chee berharap projek demokrasi itu terus mendapat partisipasi langsung dari pertubuhanpertubuhan komuniti setempat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) tersebut.

“Pendaftaran sebagai pemilih ini sangat penting dalam menjalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

“Ianya juga penentu masa depan, hala tuju serta pembangunan negara bagi penggal seterusnya,” katanya kepada pemberita baru-baru ini, sambil berharap supaya pengundi berdaftar berwajib berani melakukan perubahan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kini.

Menurutnya, pegawai serta wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri yang akan melakukan proses daftar pemilih tersebut.

Selain itu, Lip Chee memberitahu, mereka yang menyertai program ‘Jelajah Jawi’ tersebut turut berpeluang untuk saling berinteraksi dengan wakil SPR mengenai amalan pilihanraya yang dilaksanakan di negara ini.

Pegawai Seranta ADUN Jawi, Abdul Halim Yunus yang dihubungi kemudian memberitahu, seramai 238 pengundi muda berjaya didaftar sejak program ‘Jelajah Jawi’ dianjurkan pada bulan lalu.

Dalam perkembangan lain, Lip Chee turut menggesa komuniti setempat yang layak supaya mendaftar pelbagai ‘Program Emas’ yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2009.

Mereka yang dimaksudkan, katanya, adalah bayi baru lahir, murid Tahun Satu dan Empat serta Tingkatan Satu dan Empat, orang kurang upaya (OKU), siswa daftar Universiti Awam terpilih, warga emas, ibu tunggal, suri rumah sepenuh masa dan sebagainya.

“Bagi memudahkan orang ramai mendaftar, Pusat Khidmat saya sendiri bersama-sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Nibong Tebal, JKKK Byram, JKKK Air Lintas, JKKK Teluk Ipil dan JKKK Changkat memulakan jelajah di DUN Jawi sepanjang bulan April lalu.

“Saya rasa ini merupakan cara yang terbaik untuk memberi penerangan kepada orang ramai,” ujarnya.