Daftar program Mission Home-Possible, peluang cerah beli rumah idaman

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri berharap lebih ramai warga Pulau Pinang berpeluang memohon rumah idaman masing-masing melalui program jelajah Misi Rumah Mampu Milik di peringkat parlimen dan daerah, sekarang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, rancangan membina 22,575 unit rumah mampu milik secara berperingkat di 12 lokasi meliputi bahagian pulau dan Seberang Perai adalah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri hari ini.

“Fasa I projek Bandar Cassia (dekat Batu Kawan) merangkumi 149 unit rumah kos sederhana rendah dan 371 unit rumah mampu milik (keseluruhannya 520 unit) telahpun mula sejak tahun lepas lagi kerana ini antara ‘Mission Home-Possible‘ kita.

“Peluang untuk membeli rumah idaman lebih cerah sekiranya pemohon segera daftar (melalui program) ‘Mission Home- Possible’ sekarang ini, kerana anda akan mengisi senarai teratas untuk dipertimbang oleh sebuah jawatankuasa bebas, iaitu SPEC (Jawatakuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan),” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Program Pemilikan Perumahan Mampu Milik “Mission Home-Possible” di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng dan ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan turut berucap pada majlis jelajah itu.

Sebelum, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menjelaskan berhubung projek pemajuan di Teluk Kumbar, SP Chelliah, Fasa 4 Bandar Cassia dan Kampung Jawa merangkumi 1,633 rumah kos sederhana rendah (KSR) serta 2,381 rumah mampu milik (RMM) yang dijangka siap tahun depan.

Katanya, projek pemajuan lain di Jelutong, Pintasan Cecil, Sandiland, Fasa 7 Bandar Cassia, Ampang Jajar, Mak Mandin dan Bukit Mertajam merangkumi 250 rumah kos rendah (KR), 2,382 KSR dan 1,861 RMM, yang dijangka siap pada tahun 2015.

Tambah Guan Eng, projek pemajuan di Juru, Ujung Batu dan fasa lain dekat Bandar Cassia merangkumi 600 KR, 3,725 KSR dan 9,223 RMM pula dijangka bermula pada tahun 2016.

“Setakat ini, terdapat 24,399 pemohon melalui sistem di Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri untuk jenis KR, 23,582 pemohon untuk jenis KSR dan 3,257
pemohon untuk perumahan jenis mampu milik,” jelas Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat.

Sejak tahun 2008 hingga Mei lepas, difahamkan, sebanyak 12,471 KR telahpun dibina di kelima-lima daerah melalui 64 projek pemajuan.

Itu, tidak termasuk 7,608 KSR melalui 28 projek di semua daerah, dalam tempoh sama.