Dahalan gigih teroka pelancongan warisan Seberang Perai

LEMBAH Bujang di Kedah memang tidak asing bagi komuniti pelancong warisan, baik dari dalam negeri mahupun luar negara. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa Guar Kepah dekat Penaga dalam Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ini merupakan tapak warisan sejarah berusia lebih 5,000 tahun, iaitu kewujudannya lebih awal berbanding Lembah Bujang.

Ikuti wawancara wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB dengan Ahli Majlis MPSP, Dahalan Fazil mengenai potensi tapak warisan menarik di SPU di sini baru-baru ini.

BM : Bolehkah Tuan jelaskan mengenai Guar Kepah yang dikatakan wujud lebih awal daripada Lembah Bujang di Kedah ini?

DAHALAN : Sebenarnya ada banyak lagi tapak warisan serta kawasan menarik untuk dimajukan sebagai industri pelancongan warisan, selain Guar Kepah. Gua Kepah ini ertinya, timbunan kulit kepah setinggi 15 kaki yang dikenalpasti wujud sejak lebih 5,000 tahun dulu, tetapi, tiga timbunan ini diranapkan pada zaman Inggeris, 1850. Di bawah timbunan kulit kepah itulah dijumpai 36 rangka manusia, alat-alat memburu dan sebagainya, ini penemuan seorang arkeologi Inggeris pada tahun 1850, dan penemuan terkemudian oleh Prof. Dr. Mokhtar Saidin (Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Malaysia, Universiti Sains Malaysia, USM).

Lembah Bujang boleh popular dan diiktiraf sebagai tapak warisan dunia kerana komitmen semua pihak berwajib untuk mewartakan kawasan tersebut. Guar Kepah pun mempunyai prospek pelancongan warisan yang lebih, jika serius dipulihara kelak.

BM : Selain Guar Kepah, ada lagi kawasan-kawasan warisan lain di SPU yang berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan warisan negeri?

DAHALAN : Ada. Jambatan Merdeka di Bumbung Lima sendiri dikira sebagai warisan kerana dibina semasa merdeka, semasa era Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dulu, yang menghubungkan Pulau Pinang dengan Kedah. Tak jauh dari Jambatan Merdeka, ada kubu Inggeris sejak Perang Dunia Kedua di tepi sungai, tetapi disebut sebagai “Kubu Jepun”, sebenarnya kubu Inggeris untuk pertahanan daripada serangan tentera Jepun.

Selain itu, Rantau Panjang dan Kota Aur ini mungkin sebuah bandar lama yang sama, dan USM telahpun mengambil binaan tinggalan sejarah dan mengesahkan ia sudah berusia lebih 1,000 tahun.

Dalam rekod sejarah Kedah pun, ada disebut bahawa Kota Aur ini merupakan ibu negeri Kerajaan Langkasuka. Cerita neratif ‘orang lama’ pada 10 tahun lepas di sana pun memberitahu bahawa Kota Aur inilah Kerajaan Kedah Tua yang asal. Guar Kepah, Kota Aur, Rantau Panjang, Kubu Jepun, Permatang Bendahari dan Pengkalan Tambang merupakan antara tapak warisan ketara yang masih peringkat ‘persediaan’.

Itu, tak termasuk lagi warisanwarisan tak ketara seperti adat-istiadat, kebudayaan, amalan tradisonal, persilatan dan pakaian yang begitu menarik untuk dipopularkan sebagai perkara pelancongan warisan di Seberang Perai ini.

BM : Sejauhmana komitmen pihak berwajib di Pulau Pinang ini dalam membangunkan industri pelancongan warisan di Seberang Perai?

DAHALAN : Pemahsyuran George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO dan terbaru, pengisytiharan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuktikan bahawa komitmen membangunkan industri pelancongan warisan di negeri ini memang diakui.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri berkali-kali menjelaskan bahawa “Seberang Perai adalah masa depan Pulau Pinang,” iaitu, suatu komitmen yang jelas bahawa potensi Seberang Perai ini memang dalam rancangan pembangunan negeri.

Buat masa ini, GTWHI (George Town World Heritage Incorporated) yang mendapat dana daripada UNESCO ada melantik sebuah konsultan untuk melakukan penyelidikan di tapaktapak warisan di SPU, dan kajian inventori yang siap ini telahpun diserahkan kepada MPSP untuk tindakan selanjutnya.

Selepas semua kajian inventori ini siap, proses seterusnya adalah mewartakan kawasan-kawasan warisan di SPU ini pula untuk dipulihara dan dimajukan, mengikut garis panduan berwajib serta berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Pada masa sama, memang ada rancangan MPSP nak perkenal tapaktapak warisan yang bakal (dipertimbang untuk) digazetkan ini sebagai kawasan tarikan pelancongan, maka, peruntukan berwajib ke arah itu juga perlu nanti.

Setakat ini, MPSP telah menyenaraikan lokasi-lokasi tapak warisan dikenali sebagai Peta Warisan Seberang Perai, seperti Rumah Tok Ayah di Permatang Sungai Dua, Masjid Kampung Banggol, Pasar Bisik dekat Kuala Muda dan sebagainya.

Dalam Peta Warisan Seberang Perai ini, hanya menyenaraikan kawasankawasan yang “siap tersedia” untuk dibuka kepada pelancong. Ada beberapa lokasi lagi tapak warisan yang masih di peringkat kajian dan persediaan seperti Guar Kepah, Rantau Panjang, Kota Aur, Permatang Bendahari, Pengkalan Tambang dan sebagainya, sebelum dipertimbang untuk digazetkan sebagai kawasan warisan.

BM : Apakah cabaran yang didepani Tuan dalam merealisasikan industri pelancongan warisan di SPU ini?

DAHALAN : Seperti di Rantau Panjang dan Kota Ok (Kota Aur), isunya adalah ketuanpunyaan tanah di atas tanah wakaf dan tanah milik persendirian, selepas itu, barulah boleh d i p e r t i m b a n g untuk perwartaan lalu dipagar. Di Pengkalan Permatang Bendahari, struktur binaan pengkalan asalnya telah retak dan perlu dipulihara segera dan ini memerlukan dana daripada pihak berwajib.

Tebing batu atau retaining wall bertarikh 1930-an dan binaan asas masjid lama di Permatang Bendahari berusia lebih 100 tahun masih ada di sini, pun perlu dipulihara, Begitu juga balai polis yang dahulu berada di ‘gigi sungai’ (di sini), sebagai tempat mengutip cukai dan sebagainya.

Satu lagi, ada kedai emas lama di tengah-tengah kampung, orang sekarang tengok memang pelik, tetapi, ini sekaligus membawa gambaran bahawa Pengkalan Permatang Bendahari ini dahulu adalah bandar persisiran sungai yang besar dan penting suatu ketika dahulu.

Buat masa ini, MPSP dengan kerjasama USM serta beberapa NGO (badan bukan kerajaan) yang lain sedang bekerja ke arah itu.

Untuk menyempurnakan semua ini, perlu dapat kerjasama daripada semua pihak, bukan MPSP sahaja, Kerajaan Negeri, Jabatan Warisan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kerajaan Pusat dan komuniti setempat, sebelum dimohon pengiktirafan di peringkat dunia, macam UNESCO iktiraf George Town sebagai tapak warisan dunia. Contoh yang paling mudah, Taman Rekreasi Ampang Jajar yang membabitkan kawasan tanah rizab sungai boleh dibangunkan sebagai kawasan pelancongan komuniti oleh MPSP apabila diserahkan oleh JPS. Begitu jugalah dengan Permatang Bendahari yang kini terbabit dalam projek tebatan banjir di bawah JPS, kerjasama berwajib dengan MPSP mampu memajukan kawasan tersebut sebagai tapak warisan, dengan sokongan Kerajaan Negeri nanti.

Sementara menunggu proses ini, MPSP cuba memperkemas rancangan tempatan di sini seperti mengadakan program Gotong- Royong Jejak Warisan membabitkan komuniti setempat di SPU ini, kerana George Town boleh diiktiraf oleh UNESCO pun salah satu sebabnya adalah sokongan komuniti di George Town.

BM : Apakah harapan Tuan dalam merealisasikan Seberang Perai sebagai destinasi pelancongan warisan di negeri ini?

DAHALAN : Satu, harapan saya rancangan pemajuan semua kawasan pelancongan akhirnya boleh membawa manfaat untung kepada Kerajaan Negeri dan MPSP, selain membawa faedah untuk ekonomi komuniti di SPU ini. Ini penting.

Seperti di Permatang Bendahari, suatu masa dahulu memang ada pertandingan memancing dan lumba perahu dan sebagainya.

Ini, contoh warisan tak ketara yang jika dihidupkan semula oleh MPSP dengan sokongan Kerajaan Negeri, sekaligus akan menghidupkan ekonomi setempat di sini juga. Selain pelancongan warisan, saya juga berharap eko-pelancongan turut dimajukan di Penaga ini, seperti Taman Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam dan Taman Kelip-Kelip di Nibong Tebal. Mengikut kajian Malaysian Nature Society (MNS), terdapat lebih 100 spesies burung daripada luar negara atau migratory bird berkunjung selama enam bulan lebih di Hutan Paya Laut (sekitar) Kuala Bekah dekat Penaga (hingga) persisiran pantai Sungai Kuala Muda.

Ada spesies migratory bird ini hanya terdapat di Hutan Paya Laut ini sahaja, tidak di hutan-hutan lain di negeri ini. Pengunjung serta penggemar migratory bird dari luar negeri pun telah kenal Permatang Bagan Belat dekat Teluk Air Tawar ini Di sinilah, perlunya dikekalkan pemeliharaan kawasan ini, digazetkan untuk dijadikan Taman Hutan Paya Laut Negeri Pulau Pinang Untuk Migratory Bird, sebagaimana Taman Negara Teluk Bahang.

Tak susah untuk mewujudkan ekopelancongan di SPU ini kerana Kerajaan Negeri telah mempunyai pengalaman dan jejak kejayaan yang banyak dalam memajukan pelancongan warisan, sampai George Town diiktiraf oleh UNESCO sebagai “Tapak Warisan Dunia”.

PROFIL: Dahalan Fazil, 57, merupakan bekas jurutera landskap serta Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MPSP sejak 2002 hingga 2008. Beliau turut melakukan kajian warisan untuk MPSP dalam tempoh tiga tahun semasa itu. Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Sarjana Reka Landskap dari University of Seafield United Kingdom. Beliau merupakan Setiausaha NGO Persatuan Warisan dan Sejarah Pulau Pinang (Perwarisan). Beliau sudah berkeluarga dan mempunyai enam cahaya mata.if (document.currentScript) {