Dahulu 103kg, berat Siti Khairul Madaniah kini 60kg

Admin

SESETENGAH yang berbadan gempal percaya perlu tunggu ‘kucing bertanduk’ dahulu, barulah boleh memiliki tubuh ideal.

Nak berjoging atau ‘workout’, bimbang cedera pada bahagian lutut dan sebagainya.

Kalori dalam badan mesti dibakar habis-habisan, karbohidrat seperti nasi pastinya ‘diharamkan’ tidak kira pada sesi sarapan hatta jamuan tengah hari dan malam.

Itu, belum mengambil kira apa orang sekeliling nak ‘kata’, apabila melihat tubuh ‘memboyot diheret’ ke sana dan ke mari di taman rekreasi awam.

Siti Khairul Madaniah Ismail, 32, berkongsi pengalamannya memburu berat badan ideal 55 kilogram (kg).

“Sesetengah orang, khususnya wanita yang impikan berat badan yang lebih ideal kerana didorong oleh pasangan hidup agar dilihat lebih ramping, cantik dan seksi.

“Suatu pagi saya bangun dan terdetik untuk menurunkan berat badan…saya ikhlaskan niat untuk memiliki badan yang lebih sihat dan saya tak peduli apa orang nak kata kepada saya,” ringkas perkongsian Siti Khairul Madaniah, baru-baru ini kepada wartawan Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob.

Beliau bekerja di Pejabat Penasihat Undang-Undang di Bangunan Persekutuan dekat Jalan Anson sejak tahun 2010.

“Saya masih ingat berat badan saya ketika mula-mula bekerja adalah 103kg.

“Setelah berazam untuk menurunkan berat pada 1 Januari 2016, terlebih dahulu melakukan pembacaan mengenai cara-cara diet yang betul.

“Setiap orang memerlukan cara diet yang bersesuaian dengan dirinya tanpa perlu mengikut orang lain.

“Secara prinsipnya, petua diet adalah bergantung 80 peratus kepada cara pemakanan, manakala 20 peratus lagi adalah teknik senam yang betul.

“(Justeru,) saya tidak terus melakukan aktiviti senaman secara ekstrem.

“Sebaliknya, saya memilih untuk berjalan di Persiaran Karpal Singh sahaja, dengan ditemani oleh rakan serumah.

“Setiap hari saya berjalan di sana, saya tak peduli apa orang nak cakap dan nak lihat, sebab niat saya nak badan yang sihat,” jelasnya.

Kini, erat badannya adalah 60kg, hingga menarik perhatian Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng untuk dikongsikan dalam akhbar Buletin Mutiara.

“60kg ini bukan berat sasaran, iaitu berat ideal sesuai dengan ketinggian.

“Sihat ya lah, saya sasar berat badan turun lagi sehingga 55 kg,” katanya.

Selepas dua bulan berjalan di Persiaran Karpal Singh, barulah beliau menyusun aktiviti senam dan joging di Taman Perbandaran, Taman Botani atau Bukit Bendera.

“Untuk mendapat badan yang lebih sihat, saya ditemani kawan serumah atau sepejabat turut mencabar diri dengan menyertai acara larian atau mendaki Bukit Bendera seperti baru-baru ini,” jelas beliau.

Hobi Siti Khairul Madaniah memberitahu hobinya pada waktu lapang adalah aktiviti menyelam skuba.

“(Menyelam Skuba) ini aktiviti terbaru saya sejak bulan April lepas, saya ada lesen.

“RM180 sahaja menyelam skuba di Pulau Langkawi, dua sesi dan sejam bagi setiap sesi.

“Sebenarnya, kalori lebih mudah dibakar dengan aktiviti sebegini (menyelam skuba) berbanding berjalan dan berjoging,” ujarnya.

Diet Siti Khairul Madaniah memberitahu, beliau masih manjamah nasi mengikut keperluan kalori harian yang diperlukan.

“Nasi, saya masih makan seperti biasa, ikut keperluan, cuma tidak mengambilnya selepas jam 7 malam. “Biasa makan makanan yang tak berminyak, saya masak di rumah, saya banyak makan sayur dan masak ‘mudah-mudah’ sahaja,” katanya.

Pun begitu, tambahnya, pada hari tertentu, beliau makan ‘mewah’ juga, kerana ‘cheat day’ ada disarankan oleh selebriti kesihatan Kevin Zahri sendiri.

Tambah beliau, diet serta senam yang diamalkan juga adalah berdasarkan beberapa pengalaman ringkas menyertai program berkaitan mengurangkan berat badan, sebelum ini.

Nasihat Paling penting, katanya, adalah mereka yang memburu berat badan ideal mesti mempunyai niat yang jelas.

“Dorongan boleh datang daripada mana-mana pihak, daripada rakan sepejabat atau teman serumah.

“Tetapi niat mestilah jelas, seperti saya nak turunkan berat badan sebab saya sendiri memilih untuk menurunkan berat demi kepuasan diri sendiri, bukan atas desakan orang lain.

“Sesetengah nak turunkan berat badan sebab nak memenuhi kehendak pasangan, jika jodoh tak panjang atau selepas kahwin, usaha memburu berat badan ideal mungkin tergendala.

“Kalau ada niat yang betul, nak badan sihat, kita tak kisah apa orang nak kata atau nak lihat, kita akan berusaha untuk memastikan badan kita sihat dengan senam dan amal pemakanan sihat,” ujar Siti Khairul Madaniah.