Daya saing hadapi perubahan jadikan sektor E&E negeri inovatif

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BAYAN LEPAS – Pameran semikonduktor terbesar di Asia Tenggara, SEMICON Southeast Asia 2016 selama tiga hari mulai 26 April lalu di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) di sini menerima 6,940 perwakilan serta pengunjung berdaftar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap pameran tersebut dapat terus menjadi pemangkin pada perkembangan sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara, khususnya di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang menyumbang hampir 20 peratus pada keseluruhan aliran masuk pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia pada tahun 2015, tertinggi berbanding negerinegeri lain.

“(Angka) ini adalah peningkatan sebanyak tujuh peratus daripada aliran masuk (FDI) pada tahun sebelumnya.

“Untuk mara ke hadapan, kita perlu berdaya saing dengan perubahan dan satu-satu cara adalah dengan menggalakkan inovasi (dalam sektor E&E),” katanya.

Ucapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Ketua Pegawai Kewangan merangkap Naib Presiden Operasi SEMI Global SEMICON Southeast Asia 2016, Rich Salsman turut berucap pada majlis pembukaan pameran antarabangsa itu.

Guan Eng berkata, Pulau Pinang mempunyai 3T iaitu Bakat (Talent), Teknologi dan Toleransi dengan idea-idea baharu demi menggalakkan inovasi dalam semua sektor pelaburan di negeri ini.

Pada sidang media berasingan sebelum itu, Pengarah investPenang, Datuk Lee Kah Choon pula memberitahu sektor E&E Pulau Pinang pada tahun lepas menyumbang 65 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan ke negeri ini.

“(Pelaburan E&E Pulau Pinang) ini adalah (menyamai) lebih 50 peratus daripada jumlah pelaburan sektor (E&E) di Malaysia, dalam tempoh sama (kini).

“Walaupun kelembapan jualan (dalam sektor) semikonduktor (di peringkat) global, eksport produk semikonduktor Malaysia kekal memberangsangkan, kerana memberi tumpuan pada bidang berkaitan (Internet Untuk Segalagalanya) Internet of Things (IoT) serta tukaran mata wang asing menguntungkan,” jelasnya yang juga Penasihat Khas Kepada Ketua Menteri sebelum ini.

Memetik laporan statistik MIDA pada tahun 2015, jumlah pelaburan dalam sektor E&E negara bagi tahun 2014 sahaja berjumlah 43.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara.

Eksport E&E negara pada tahun sama berjumlah RM256.1 bilion, iaitu menyumbang kira-kira 43.6 peratus daripada jumlah eksport pengilangan Malaysia.

Difahamkan, tujuan utama SEMICON Southeast Asia 2016 dianjurkan antara lain untuk mengenalpasti corak pasaran serantau ke arah merangka solusi dalam industri semikonduktor negara, meliputi aspek mengembangkan permintaan dalam pasaran, pengkhususan produktiviti, uji teknologi serta seni reka baru produk.

if (document.currentScript) {