Delegasi pelajar Korea di Seberang Perai

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – Hasil memorandum perjanjian persahabatan ditandatangani antara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Bandar Metropolitan Gwangju, Korea Selatan pada 17 Mei lalu, seramai 18 delegasi pelajar telah dihantar sebagai sebahagian daripada program pertukaran idea serta maklumat antara dua pihak berkaitan di sini baru-baru ini.

Selain dibawa ke lokasi-lokasi menarik di Seberang Perai, delegasi terbabit turut dibawa melawat bahagian pulau Pulau Pinang.

Yang di-Pertua MPSP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif berkata, program tersebut adalah sebagai perkongsian idea dan maklumat mengenai budaya pentadbiran, seni, pendidikan serta ekonomi dua pihak.

“Diharap melalui hubungan ini, lebih ramai lagi warga Korea akan datang melawat Pulau Pinang terutamanya Seberang Perai,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Pada 17 Mei lalu, MPSP telah menandatangani memorandum perjanjian persahabatan dengan Datuk Bandar Metropolitan Gwangju, Kang Un-tae. Delegasi 18 pelajar berkenaan tiba di Pulau Pinang pada 25 Ogos lalu dan berada di sini selama lima hari.