Delegasi persidangan dirai jamuan buah-buahan tempatan

DIRAIKAN… Kira-kira 150 ahli-ahli korporat, pelabur dan ahli-ahli perniagaan berpotensi diraikan dalam majlis jamuan buah-buahan tempatan dekat Bayan Lepas baru-baru ini. Datuk Lee Kah Choon berkata, inisiatif mengadakan jamuan tersebut adalah bagi meraikan delegasi terbabit termasuk memperkenalkan Raja Buah Pulau Pinang, durian.

“Kebiasaannya, selepas penganjuran sesuatu persidangan, para delegasi akan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik, tapi kali ini, lari dari kebiasaan, kita (investPenang, iP) adakan jamuan buah-buahan tempatan.

“Saya percaya melalui jamuan ini, para delegasi dapat meningkatkan rangkaian perniagaan dan saling berkomunikasi, bertukar-tukar pandangan,” katanya pada jamuan berkaitan sejurus selepas persidangan 4th Penang Shared Services Outsourcing Conference di sini baru-baru ini.

Selain pelbagai jenis durian seperti Musang King, Ang Hay, Hor Lor, 604 dan Kulit Hijau, turut dihidangkan adalah menu makanan tempatan seperti laksa, pulut, buah-buahan kampung, buah-buahan bermusim dan beberapa jenis buah-buahan import.

}