Demi keselamatan orang ramai, ADUN ganti tanam pokok fukugi

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SERI DELIMA – Beberapa pohon pokok fukugi atau nama saintifiknya, Garcinia Subelliptica ditanam bagi menggantikan pokok-pokok buluh yang ditebang atas faktor keselamatan di taman dekat Lorong Delima 9, Seri Delima di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer berkata, beberapa pokok lain turut dipangkas bagi menjamin keselamatan pengunjung di taman tersebut.

“Selain nampak lebih kemas dan indah, pokok yang dipangkas juga adalah bagi menjaga keselamatan pengunjung di taman ini, terutamanya kanak-kanak.

“Tambahan pula, ada dalam kalangan penduduk yang pernah terserempak dengan beberapa individu tidak dikenali menyorok di belakang pokok buluh…juga ular yang boleh mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja termasuk kanakkanak yang bermain di sini,” ujarnya ketika mengadakan lawatan khas di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), D.R. Kala dan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akbar Mustapha.

Tambah Rayer, pihaknya tiada pilihan lebih baik selain memangkas terus pokok-pokok buluh yang terdapat di sini dan menggantikannya dengan pokok fukugi.

“Pokok fukugi ini selamat dan mampu memberikan teduhan yang lebih sempurna, lagipun, ia (pokok ini) tidak memerlukan penjagaan yang khusus,” jelasnya.

Difahamkan penggantian pokok fukugi tersebut memerlukan kira-kira empat bulan untuk diselesaikan.