Demokrasi Radikal dalam Demokrat Muda

Admin

Oleh : PERBADANAN PEMBANGUNAN BELIA PULAU PINANG (PYDC)

BAGAIMANA untuk kita menentukan sikap dalam suasana politik Malaysia yang berubah dengan dramatik kini? Apakah justifikasi untuk membenarkan tindakan bersekutu dengan tokoh dan kumpulan yang sebelum ini dikatakan sebagai musuh politik tradisi? Mengapa timbulnya istilah politik matang? Bagaimana mengukur kematangan berpolitik?

Semua soalan di atas adalah antara persoalan penting yang dibincang dan diterokai secara bersama oleh para peserta Bengkel Demokrat Muda anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Melalui bengkel ini para peserta yang terdiri daripada anak muda berusia antara 18-30 tahun didedahkan dengan konsep-konsep asas dalam teori demokrasi bersama contoh-contoh semasa yang praktikal.

Menariknya, melalui pendekatan permainan interaksif dan aktiviti berkumpulan ini, para peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan, pekerjaan, dan kaum berpeluang untuk samasama memberikan pandangan dan mencabar konvensi-konvensi sedia ada. Namun, ini tidak bermaksud Demokrat Muda adalah platform doktrinasi mana-mana jalur pandangan politik kepartian. Hal ini kerana, Demokrat Muda bukan sahaja tidak pernah memeriksa latar politik bakal pesertanya, malah menggalakkan peserta daripada pelbagai jalur pandangan politik, sama ada yang menyertai parti, mahupun tidak untuk ikut serta.

Di Demokrat Muda, perbezaan pandangan bukan sahaja dihormati malah diraikan. Lalu apakah matlamat akhir siri latihan Demokrat Muda ini? Demokrat Muda percaya kepada prinsip-prinsip asas demokrasi – kemampuan setiap individu untuk menggunakan fakulti akal rasional bagi membuat keputusan terbaik secara kolektif.

Maka, melalui pendekatan ini, Demokrat Muda berharap untuk membentuk lapisan anak muda yang memiliki kefahaman demokrasi yang kukuh dan bersikap kritikal terhadap mana-mana pandangan, baik daripada pembangkang, mahupun kerajaan. Hanya dengan adanya masyarakat yang aktif dan kritikal, kita dapat membentuk politik yang bertanggungjawab (accountable) dan telus (transparent).

Siri Bengkel Demokrat Muda bagi sesi 2016 telah diadakan sebanyak tiga siri dan telah berjaya menghimpunkan lebih 60 orang peserta. Manakala bagi tahun 2017, sasarannya adalah untuk menganjurkan lima siri bengkel untuk mencapai 100 orang anak muda di Pulau Pinang dan di luar Pulau Pinang. Sehingga Jun 2017, tiga bengkel telah diadakan dan baki dua bengkel lagi akan diadakan selepas Raya Aidilfitri.

Setelah peserta didedahkan dengan konsep-konsep asas demokrasi ini, para peserta terpilih akan ditawarkan untuk menyertai
Sidang Muda – satu platform untuk anak muda merasai pengalaman membahaskan usul di Dewan Undangan Negeri dan dalam masa yang sama berinteraksi dengan kepimpinan Negeri. Di sini mereka berpeluang menterjemahkan segala
konsep yang dipelajari bersama dalam bentuk praktis.

Meskipun Sidang Muda hanya merupakan simulasi perbahasan, namun setiap usul dan perbahasan mereka tetap diambil serius dan diberi pertimbangan sewajarnya. Bagi membuktikan kesungguhan ini, hasil kerjasama dengan Pejabat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Dewan sendiri yang mempengerusikan sidang perbahasan tersebut.

Pada sesi 2016, seramai 20 orang Ahli Sidang Muda telah terpilih untuk mengikuti program selama tiga hari dua malam yang mengujakan ini. Banyak usul dan cadangan menarik yang telah dibahaskan oleh para ahli. Bagi sesi 2017 ini, Sidang Muda dijangkakan akan dilaksanakan pada bulan September.

Mudahnya, Demokrat Muda ini adalah satu usaha oleh PYDC untuk mendedahkan anak muda dengan demokrasi radikal dalam pengertian Ernesto Laclau dan Chantal Mouffe.

Di sini, radikal bukan bermaksud ekstream, tetapi akar atau teras (bahasa Latinnya radix) iaitu demokrasi dengan pengertian sebenar dan bagaimana ia diterjemahkan dalam bentuk amalan di Malaysia ini.

Justeru itu, bagi anak muda yang berminat untuk kembali kepada konsep-konsep asas ini sertailah Demokrat Muda dengan menghubungi Sekateriat di talian / WhatsApp +6012-4010 186 atau email kepada [email protected]. Jumpa ada di bengkel seterusnya!