Denggi belum berlalu, rakyat perlu terus waspada

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PERMATANG PASIR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengingatkan rakyat bahawa wabak denggi belum berlalu ekoran masih terdapat kes kematian berlaku di Pulau Pinang.

“Wabak denggi sangat bahaya, ia tidak kenal sesiapa dan waktu sehinggakan pada sambutan Tahun Baru Cina pun ia menyerang mangsa.

“Tahun ini sahaja, tiga mangsa sudah meninggal dunia. Tahun lalu, 13 mangsa meninggal dunia berbanding 2015 (19).

“Walaupun mencatatkan penurunan, namun 13 kematian itu masih banyak dan sekarang baru di bulan Februari,” ujarnya ketika menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa mendiang Gau Tong Sun, 62, yang meninggal pada hari kelima sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan kepada abang mendiang, Gau Chang Kee, 69, dekat Kampung Permatang Ara, Jalan Kubang Semang di sini.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Tambah Guan Eng, kawasan yang disangkakan selamat juga perlu berhati-hati kerana denggi masih mampu menyerang.

“Pada tahun 2015 dan 2016, kawasan tempat tinggal mendiang tiada kes kematian dicatatkan, namun tahun ini ada kes.

“Kadang-kala kawasan yang kita rasakan selamat juga adalah tidak selamat,” jelasnya.

Afif dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar meningkatkan kerjasama komuniti dalam menjaga kebersihan lokaliti tanpa berharap kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri semata-mata.

Mangsa yang menetap di Taman Makok, Bukit Mertajam meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang.