Derma darah wajar diadakan selalu – Zairil

TANJUNG TOKONG – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menyeru supaya lebih ramai masyarakat umum menyertai kempen menderma darah dari masa ke masa dalam usaha menampung keperluan darah di negeri ini.

Zairil berkata demikian ketika hadir pada Kempen Derma Darah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of George Town bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 baru-baru ini di sini.

Turut sama, isteri beliau, Dahlia Hamzah dan Presiden Lions Club, Kevin Teow Hai Theng.

Ketika ditemui, beliau berkata, kempen derma darah wajar diadakan selalu bagi mengekalkan bekalan darah di samping dapat menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

“Saya difahamkan bahawa satu pint darah boleh menyelamatkan tiga nyawa dan prosedur pendermaan darah juga adalah mudah, tidak sakit dan selamat dalam masa lebih kurang 10 hingga 15 minit sahaja.

“Lagipun, ia merupakan amalan yang murni dan mulia,” katanya yang turut menderma darah bersama-sama Dahlia dalam penganjuran berkenaan.

Kempen yang mendapat kerjasama Hospital Seberang Jaya itu berjaya mengumpul sejumlah 120 pint darah pada penghujung kempen yang dianjurkan.