Dewan Balai Rakyat Batu Lanchang kini berpenghawa dingin

BATU LANCHANG – Tuah penduduk! Dewan Balai Rakyat Batu Lanchang sekali lagi dinaiktaraf dengan pemasangan kemudahan penghawa dingin demi keselesaan para pengguna.

Kali pertama dewan yang dibina pada 30 Julai 1986 dan terletak di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lanchang tersebut dinaiktaraf adalah pada 2013 iaitu membabitkan pemasangan lif dengan kos berjumlah RM399,999.50.

Kini, demi keselesaan semua pihak, dewan terbabit sekali lagi dinaiktaraf (dengan kemudahan penghawa dingin) membabitkan kos RM428, 940.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan projek naiktaraf berkenaan berkata, inisiatif pelaksanaan projek
naiktaraf kompleks pasar dan makanan secara berperingkat akan terus dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kerajaan Negeri bagi memastikan kemudahan prasarana yang berkualiti disediakan demi kebajikan rakyat.

“Projek naiktaraf kemudahan awam di negeri ini mampu dijalankan Kerajaan Negeri kerana mengamalkan pentadbiran Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang menjamin pulangan lebihan perbelanjaan kepada rakyat,’’ katanya pada majlis berkaitan yang turut meraikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri KADUN Batu Lanchang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Law Heng Kiang, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Ang Aing Thye serta Ahli-ahli Majlis MBPP.

Dalam pada itu, Patahiyah memberitahu bahawa Balai Rakyat Batu Lanchang akan dicat serta dinaiktaraf pada bahagian lantainya pada tahun depan (2016).

“Malah, di samping itu, MBPP juga akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan membabitkan beberapa balai rakyat di bawah Majlis seperti pemasangan penghawa dingin di Balai Rakyat Bayan Baru serta Taman Tun Sardon dan pembinaan lif di Balai Rakyat Padang Tembak,” ujarnya.

Difahamkan, ekoran penaiktarafan tersebut, kadar sewa baru Dewan Balai Rakyat Batu Lanchang adalah RM460 bagi kegunaan tujuh jam pertama dan tambahan setiap jam berikutnya adalah sebanyak RM40.

Bagi kegunaan gelanggang badminton, sewa adalah bernilai RM7 untuk setiap jam dan kegunaan ruang legar, RM2 sehari.