Dewan serba guna Kampung Baru Alma bakal dilengkapi gelanggang badminton – ADUN

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG LALANG – Komuniti Kampung Baru Alma menyambut baik usaha Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng untuk mendirikan dewan serba guna seawal tahun hadapan.

Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, beliau juga menerima maklum balas daripada penduduk bahawa perlunya mewujudkan sebuah gelanggang badminton bersebelahan dewan serba guna yang dicadangkan.

“Projek mendirikan dewan serba guna ini sepatutnya dimulakan pada 2017, akan tetapi, penduduk kawasan Kampung Baru Alma memohon supaya dewan rakyat tersebut didirikan juga dengan gelanggang badminton.

“Justeru, pelan perlu diubah suai untuk kelulusan semula Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan peruntukan perlu dimohon sekali lagi kerana kos pembinaan kedua-duanya adalah berbeza,” jelasnya ketika turun padang melawat Kampung Baru Alma di sini baru-baru ini.

Pada lawatan tersebut, Chong Eng turut mengetengahkan bahawa beberapa infrastruktur di kampung berkaitan yang perlu dinaik taraf, antaranya jalan perlu diturap semula, menaik taraf tebing sungai bagi mengurangkan risiko banjir serta membaiki struktur titi di sini.

Kesempatan sama turut digunakan beliau untuk menyampaikan bantuan kerusi roda kepada salah seorang pesakit diabetes dekat sini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MPSP, Joshua Woo Sze Zeng, Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Baru Alma dan kakitangan-kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.