“Di Pulau Pinang adalah agak unik kerana kerja ‘cari’ orang”

Admin

SERI DELIMA – Melalui penganjuran Pertandingan Bola Keranjang oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) yang memasuki tahun ketiga, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap ia mampu mencungkil lebih ramai bakat pemain muda bagi sukan tersebut di masa depan.

“Melalui pertandingan ini, kita (Kerajaan Negeri) berharap ianya mampu menjana bakat-bakat baharu dalam arena sukan bola keranjang, bukan sahaja untuk Pulau Pinang bahkan negara.

“Suka untuk saya nyatakan juga bahawa pertandingan pada kali ini menunjukkan peningkatan penyertaan dari 56 pasukan tahun lepas kepada 63 pasukan pada tahun ini.

Ini termasuk tujuh pasukan wanita,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pertandingan Bola Keranjang PYDC Kali Ketiga 2018 dekat Lorong Seri Delima 11 di sini baru-baru ini. Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Guan Eng dalam pada itu menyatakan bahawa Pulau Pinang juga terus membela nasib golongan muda dengan menyediakan peluang pekerjaan yang cukup.

“Di Pulau Pinang agak unik kerana selalunya kita dengar orang cari kerja, tapi di sini, kerja cari orang.

“Saya difahamkan kini kira-kira 20,000 kekosongan jawatan masih menanti anak muda, terutamanya bagi sektor perindustrian sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri komited jaga anak-anak muda di negeri ini,” jelasnya yang juga ADUN Air Putih.

Kejohanan yang bermula pada 10 Februari lalu dijangka berlangsung selama tiga bulan bagi menentukan juara menggunakan format liga dan kalah mati.