Dua bulan tender terbuka bina 600 rumah di Ujung Batu

BAYAN BARU – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyatakan hasrat untuk membina 600 unit rumah mampu milik di atas sebidang tanah berkeluasan 5.2 hektar di Ujung Batu dekat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam, Seberang Perai Utara (SPU) di sini.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri mengumumkan tender terbuka selama dua bulan supaya syarikat pemaju yang berminat boleh bersama dalam merealisasikan projek misi rumah mampu milik rakyat tersebut.

“Jadi, kepada pemaju yang berminat bolehlah mengambil bahagian dalam tender terbuka selama dua bulan ini, (iaitu) bermula pada 2 September hingga 3 November (depan),” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan, ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng serta Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar turut menyertai sidang media tersebut.

Guan Eng, yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap projek tersebut dapat menyediakan kemudahan perumahan yang lebih baik serta selesa untuk rakyat, memandangkan kira-kira 314 rumah setinggan dikenalpasti di sana, kini.