Dugaan hidup Makcik Khatijah peroleh perhatian ADUN

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

SUNGAI PINANG – Walaupun diuji dengan dugaan hidup yang serba kekurangan, Khatijah Md. Yusoff atau lebih dikenali sebagai Makcik Khatijah, 63, tetap redha dengan nasib yang menimpa dirinya.

Menyedari keperitan hidup warga emas tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim tampil menyalurkan bantuan bagi meringankan bebannya.

“Setelah diberitahu jiran-jiran, kunjungan pertama saya ke kediaman Makcik Khatijah adalah agak mengejutkan kerana keadaan rumahnya yang tidak terurus.

“Justeru, beberapa bentuk bantuan segera terus diberikan, antaranya bantuan makanan bulanan, pembayaran bil tunggakan elektrik, membawa beliau menjalani rawatan di hospital dan membersihkan sebahagian rumahnya.

“Malah, kami telah aturkan pertemuan dan lawatan bersama-sama Penghulu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Pejabat Kesihatan Negeri bagi membolehkan bantuan-bantuan perlu disalurkan,” jelasnya pada kunjungan ke kediaman Makcik Khatijah di Solok Sungai Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abd. Rashid dan Penghulu Pejabat Daerah Timur Laut, Khalid Zakaria.

Menceritakan kepada wakil Buletin Mutiara, Makcik Khatijah memberitahu, hidupnya mula tidak terurus setelah kematian suaminya pada Oktober tahun lalu.

“Makcik langsung tidak mampu bergerak, dan segala urusan harian dibantu oleh cucu perempuan makcik.

“Anak lelaki makcik bekerja sambilan di pasar dan hanya memperoleh gaji harian,” jelasnya dalam nada sebak.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan sumbangan sila hubungi Pejabat ADUN Sungai Pinang di talian 04 – 282 6630.