Duta China, KM harap hubungan dua hala kian utuh

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Duta  China ke Malaysia, Huang Huikang baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, sebelum memenuhi jemputan majlis pembukaan Jambatan Kedua Pulau Pinang pada hari berikutnya.

Guan Eng menjelaskan, pembinaan  Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Empangan Mengkuang di negeri ini turut dimajukan secara bersama oleh syarikat kontraktor dari negara tersebut.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk  sumbangan mereka dalam cadangan pemajuan projek terowong bawah laut serta tiga pintasan lebuh raya sekitar George Town pada masa depan.

“Berbanyak-banyak terima kasih kepada Duta China (ke Malaysia) atas kunjungan hormat ke Pulau Pinang ini, yang mana bukan setakat beberapa projek pembangunan ini, tetapi, suatu hubungan yang erat untuk keselesaan rakyat di kedua-dua belah pihak,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan  Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan  Masyarakat) turut menyertai majlis rasmi itu.

Dalam pertemuan tertutup sebelum itu, Guan Eng berkata, Kerajaan China turut melahirkan hasrat untuk membuka pejabat kedutaan  dan Bank of China di negeri ini.

Justeru, beliau berharap lebih ramai pelabur serta pelancong dari China ke Pulau Pinang, sekaligus, memberi manfaat kepada rakyat serta perkembangan ekonomi di negeri ini.

Bercakap pada sidang media sama,  Huang Huikang berharap hubungan perdagangan kedua-dua negara, termasuk di negeri ini kian utuh.

“(Hubungan dua hala) ini adalah peluang  untuk kedua-dua pihak untuk menarik pelancong dan pelabur.

“Pulau Pinang sendiri adalah bandar warisan, yang mempunyai rumpun budaya, tradisi serta sumber tersendiri, termasuk keistimewaannya bagi menarik lebih ramai lagi rakyat China untuk aktiviti pelancongan, pelaburan dan sebagainya di sini (Pulau Pinang),” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Guan Eng kerana menerima kunjuangan hormat berkenaan.

Difahamkan, pelaburan China di Asia  Tenggara berjumlah lebih AS$400 bilion.

Sebanyak AS$106 bilion dilaburkan di  Malaysia, sekaligus, menjadikan negara ini sebagai negara ke-enam terbesar menerima pelaburan dari China.

Huang Huikang berkata, jumlah  pelaburan China di Pulau Pinang dianggarkan kira-kira AS$40 bilion.