Empat teras utama jadi penggerak transformasi P. Pinang – KM

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Selaras dengan tekad Kerajaan Negeri untuk menggerakkan transformasi Pulau Pinang ke arah negeri pintar dan bertaraf antarabangsa berteraskan inovasi, kreativiti serta ilmu pengetahuan, empat teras strategik utama dikenalpasti.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, teras strategik utama berkaitan ialah idea bernas dalam membuat dasar serta tadbir urus yang baik, pelaburan swasta yang mencukupi, modal insan terlatih dan pengangkutan awam yang bersepadu.

“Keempat-empat teras tersebut terbukti berkesan apabila Pulau Pinang berjaya mencapai peralihan ekonomi iaitu dari sebuah negeri berpendapatan sederhana ke arah negeri berpendapatan tinggi, iaitu daripada pertumbuhan industri yang hampir sifar kepada lebih RM1 bilion dalam masa tujuh tahun,” ucapnya pada Sesi Dialog Malaysia Dutch Business Council (MDBC) Bersama-sama Ketua Menteri Berhubung Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Duta Besar Belanda ke Malaysia, Harry Molenaar; Pengarah Kumpulan (Business Development dan Corporate Finance) Gamuda Berhad, Andrew Chan; Pengurus Perniagaan Wilayah, Boskalis, Pranab Choudhury serta beberapa wakil MDBC seperti Remco Koster, Marco Winter dan John Benoist.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, Pulau Pinang kini menjadi ‘mangsa’ kejayaan sendiri apabila penambahbaikan yang dilakukan Kerajaan Negeri sejak 2008 membuahkan hasil.

“Hal ini terbukti apabila Pulau Pinang berjaya mencapai sejumlah RM55 bilion pelaburan dari tahun 2008 hingga 2015 iaitu 90 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2000 hingga 2007, RM29 bilion.

“Bukan itu sahaja, Pulau Pinang juga mencatatkan penurunan 90 peratus hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan iaitu RM69 juta menjadikan negeri terendah dengan 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang negeri – negeri kepada Kerajaan Perrsekutuan yang keseluruhan berjumlah RM16.8 bilion,” jelasnya.

Tambah Guan Eng, pelaksanaan inisiatif PIP bernilai RM27 bilion oleh Kerajaan Negeri juga mampu merancakkan proses transformasi Pulau Pinang.

Malah, jelasnya, berdasarkan anggaran kasar dilaksanakan PricewaterhouseCoopers (PwC), iaitu sebuah firma perakaunan terkemuka bertaraf multinasional dari United Kingdom, Kerajaan Negeri akan memperoleh RM205 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2050 sekiranya PIP berjaya dilaksanakan secara menyeluruh.

“Cadangan pelaksanaan PIP ini bukan sahaja akan memastikan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang pesat, malah turut menyediakan ruang dan infrastruktur yang diperlukan rakyat untuk generasi akan datang.

“Oleh itu, saya percaya pelaksanaan PIP ini juga tidak terkecuali, mampu memberi kesan berganda dan menjadi permulaan pemangkin kemajuan ekonomi Pulau Pinang menjelang tahun 2065 nanti,” ujarnya.

if (document.currentScript) {