Eratkan silaturahim melalui amalan asing sisa di punca

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai percaya bahawa amalan pengasingan sisa di punca yang dilaksanakan secara gotongroyong membabitkan semua komuniti setempat mampu mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk Flat Desa Mawar di sini.

Justeru, beliau mencadangkan Jawatankuasa Kemajuan dan Kesemalamat Komuniti (JKKK) Jalan Thean Teik supaya saling bekerjasama dengan Pejabat Pusat Khidmat ADUN Air Itam untuk mengadakan lebih banyak program kitar semula serta kerja-kerja pembersihan sekitar kawasan kediaman penduduk setempat kelak.

“Sekiranya setiap daripada kita dapat meluangkan sedikit masa setiap minggu untuk kerja-kerja amal serta komuniti, maka komuniti kita akan lebih ceria dan semangat sukarelawan ini dapat mempereratkan silaturahim antara ahli-ahli komuniti,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Gotong-royong Muhibah Flat Desa Mawar, Jalan Thean Teik di sini baru-baru ini.

Hon Wai memberitahu, acara kali ini merupakan kempen pengasingan sisa pepejal di punca yang ke-11 dilancarkan di peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam.

“Tiga acara gotong-royong telah diadakan dalam tempoh bulan Mei hingga Julai 2017, merangkumi 5 blok Flat Desa Mawar yang mempunyai 1,500 unit (kediaman) ini.

“Dalam majlis pelancaran stesen pengasingan sisa di punca hari ini, saya menaja dua stesen kitar semula (untuk amalan) pengasingan sisa di punca,” jelasnya.

Selain itu, Hon Wai turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Bomba Sukarela Bukit Bendera, Bomba Sukarela Perak Lane, Bomba Sukarela Paya Terubong, Persatuan Penduduk Desa Mawar, 30 pelajar dari Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan kawasan dan mencuci longkang.

Sebelum itu, Pengerusi JKKK Thean Teik, Nyoh Lay Lan menyatakan bahawa lokasi-lokasi semua stesen pengasingan sisa di punca yang terdapat di sini, antaranya dekat Fairy Heights Blok 137 dan Blok 138, Taman Sri Timur, Kampung Shaik Eusoff, Flat Taman David Chen, Shineville Park, Desa Mawar Blok 6 dan Blok 3