Esquel Malaysia teruskan legasi peneraju tekstil

Gambar : LAW SUUN TING

BAYAN LEPAS – Esquel Malaysia, salah satu perintis perindustrian tekstil dan pakaian berpengkalan di Pulau Pinang sejak 1965, bertekad untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam senario industri kini serentak dengan sambutan jubli emasnya tahun ini Pengerusi Syarikat Kumpulan Esquel Malaysia, Marjorie Yang Muntak berkata, beliau bertekad untuk meneruskan legasi ayahnya,

Y.L. Yang yang telah merintis Esquel Malaysia sejak tahun 1965 (dahulunya sebagai Eastern Garment).

“Pastinya, kami di Esquel Malaysia akan meneruskan legasi gemilang sejak 50 tahun lalu dan menjadi peneraju tekstil serta pilihan pakaian berjenama global,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Esquel Malaysia di sini baru-baru ini.

Hadir memeriahkan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Timbalan Presiden Syarikat Kumpulan Esquel Malaysia, Dr. John Cheh dan Presiden Federation Internationale de I’Automobile (FIA), Jean Todt. Menurut Marjorie, Esquel Malaysia mengeluarkan lebih 110 juta baju kapas setiap tahun bagi jenama unggul global seperti Ralph Lauren, Tommy Hilfiger, Hugo Boss, Nike dan Marks & Spencer.

“Kami ( Esquel Malaysia) tidak akan menoleh ke belakang lagi, sebaliknya akan terus mengorak langkah seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

“Kami (Esquel Malaysia) komited dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk beribu-ribu rakyat Malaysia dan akan membawa masuk teknologi serta kejuruteraan terkini untuk mengukuhkan lagi kualiti pengeluaran,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng yang amat teruja dengan sejarah penubuhan Esquel Malaysia berharap agar syarikat terbabit akan terus gemilang pada masa hadapan.

“Sejarah penubuhan Esquel Malaysia seharusnya menjadi pencetus inspirasi kepada usahawan-usahawan muda kini dengan pegangan falsafah pengurusan yang jitu tanpa berputus asa. Tahniah buat semua warga Esquel Malaysia,” katanya.

Seramai 2,600 pekerja termasuk tetamu jemputan khas hadir pada majlis keraian tersebut.