Exco gesa Pusat tangani isu keciciran pelajar cemerlang ke universiti awam

Admin

Oleh : SYARAFANA ALI

 

PADANG LALANG – Isu keciciran pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada senarai kelayakan, akibat kelemahan pada sistem aplikasi permohonan masuk ke Universiti Awam wajar ditangani Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata demikian ketika mengulas mengenai keciciran nama Ong Zhang Ye, 21, bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Impian Bukit Mertajam yang mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 dalam STPM.

“Sungguhpun beliau (Zhang Ye) mendapat CGPA 4.0, namun aplikasi kemasukan ke sembilan universiti pilihan beliau ditolak dengan alasan kekurangan skor merit, walaupun berjaya mencapai gred A dalam ko kurikulum.

“Sistem pemarkahan pendidikan agak diragu-ragukan, kerana walaupun pemarkahan kokurikulum mencapai gred A, beliau masih ditempatkan di kedudukan yang ke-2,000,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada majlis sidang media khas di sini barubaru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Chong Eng menegaskan, negara akan kehilangan lebih ramai bakat tempatan yang cemerlang dalam akademik di peringkat sekolah, sekiranya kelemahan pada sistem aplikasi memohon masuk ke universiti awam tersebut gagal ditangani di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Negara-negara lain sedia mengundang dan berusaha untuk membentuk bakat mereka, apatah lagi apabila seseorang itu mempunyai bakat dan minat dalam sesuatu subjek.

“Bagaimana negara hendak lebih maju jika kita tidak mengambil inisiatif untuk mengekalkan calon-calon yang berpotensi?,” soalnya sambil menyeru Kerajaan Persekutuan memberikan perhatian yang lebih terhadap kes-kes berkaitan pada masa hadapan. Pada majlis itu, Chong Eng diiringi Steven Sim menyampaikan bantuan pendidikan kepada ahli keluarga Zhan Ye.

Difahamkan, Zhan Ye kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS), namun bukan dalam kursus pilihan utama beliau.