Exco gesa Pusat tunai janji salur dana projek RTB Sg. Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

DATUK KERAMAT – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berharap Kerajaan Pusat dapat menyalurkan dana bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, seperti dijanjikan dalam Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, sejak tahun 2008, iaitu di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) ketika itu, Kerajaan Pusat menangguhkan penyaluran dana bagi Projek RTB Sungai Pinang yang berjumlah RM150 juta.

Kini, beliau memberitahu, di bawah RMK-11, jumlah tersebut telahpun mencecah RM450 juta, iaitu hampir setengah bilion ringgit bagi pelaksanaan empat fasa RTB Sungai Pinang.

“Jadi, saya berharap sangat Kerajaan Pusat dapat mempertimbangkannya (penyaluran dana bagi Projek RTB Sungai Pinang) pada RP2 akan datang memandangkan Kerajaan Negeri telahpun menjalankan tanggungjawab penempatan semula penduduk di lembangan Sungai Pinang.

“Tidak perlu salurkan semua sekaligus dana projek tersebut, sebahagian pun sudah memadai untuk memulakan fasa berikutnya Projek RTB Sungai Pinang bagi membantu penduduk setempat,” katanya yang bimbang dengan situasi banjir yang bakal dihadapi penduduk terutamanya di kawasan-kawasan penempatan yang rendah (kedudukan topografi).

Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Madrasah Daud al-Islamiah di Kampung Dodol dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Dodol, Meerasa Mastan serta wakil-wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Dodol.

Mengulas lanjut, Jagdeep menyatakan bahawa penduduk di Kampung Dodol terutamanya telah lama menunggu projek yang bukan sahaja bakal mengurangkan kejadian banjir, malah masalah banjir kilat yang sering dihadapi setiap kali musim hujan.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, beliau berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak kelas-kelas perbincangan bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat.

“Saya amat menggalakkan aktiviti sebegini diwujudkan di kawasan saya memandangkan ia dapat membantu pelajar menelaah pelajaran secara berkumpulan di samping mendapat bimbingan daripada guru-guru yang sudi memberi tunjuk ajar,” ujarnya.

Sumbangan tersebut adalah bagi menampung aktiviti P&P 128 murid dan pelajar dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5.


Cateogry: Hangat

Comments are closed.



Latest Articles

Like Our Facebook Page

Download Buletin Mutiara

Buletin Mutiara Videos

Recent Comments

  1. Link telah dibaiki. Sila cuba lagi sekal... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013
  2. Buletin Mutiara 16-30 Mei 2013 Edisi Bah... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013

Archives