Exco harap generasi muda terus pertahan sukan Perahu Naga

Gambar : LAW SUUN TING

KEMBALI… Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang menyifatkan sukan Perahu Naga adalah sukan tradisi dan warisan Pulau Pinang yang perlu dipertahankan.

Katanya, sukan Perahu Naga menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi sukan terkenal, bukan sahaja pada peringkat kebangsaan bahkan antarabangsa.

“Saya berharap sukan ini akan terus dapat diwarisi oleh generasi berikutnya, anak-anak dan cucu cicit kita demi memartabatkan perlumbaan Perahu Naga dan seterusnya menjadikan Pulau Pinang terus dikenali,’’ ucapnya pada Majlis Perasmian Festival Perahu Naga Pulau Pinang 2016 di Empangan Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

Bersempena penganjuran berkaitan, Kerajaan Negeri selaku penganjur menawarkan hadiah bernilai RM27,600.

Sebanyak 34 pasukan bertanding dan 15 daripadanya merupakan pasukan dari luar negara antaranya, Hong Kong, Singapura, Iran, China, Thailand dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Heng Kiang memberitahu, dalam menyemai minat terhadap sukan berkaitan, Kerajaan Negeri turut menganjurkan bengkel mendayung perahu naga yang berlangsung pada Oktober lalu di Empangan Teluk Bahang.}