Exco Perumahan syor bank longgar syarat pinjaman

Oleh : Z AINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK – Pembinaan rumah mampu milik yang dikatakan tidak mencukupi untuk menampung permintaan penduduk di negeri ini merupakan salah satu isu malar segar berbangkit dalam Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bagaimanapun berkata, pihak bank sewajarnya mencari jalan untuk melonggarkan syarat pinjaman demi membolehkan lebih ramai layak membeli rumah mampu milik di negeri ini.

“Daripada REHDA (Pertubuhan Pemaju Hartanah & Perumahan Malaysia), kadar penolakan sehingga 70 peratus.

“Itu bermakna, 10 orang yang pergi kepada bank untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah kos rendah atau kos sederhana rendah atau rumah mampu milik, tujuh ditolak.

“Kerajaan Negeri dan REHDA khuatir dengan perkembangan ini kerana ia akan menghalang tujuan dan niat kita membina rumah supaya sampai kepada tangan mereka yang perlu,” ujarnya kepada wartawan baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Datuk Jerry Chan (Pengerusi REHDA Pulau Pinang) , Ong Ban Seang (Pengarah Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang), Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC) dan Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut menyertai sidang media itu.

Tambah Jagdeep, syor Bank Negara Malaysia (BNM) melonggarkan syarat pinjaman bukan sahaja menguntungkan rakyat, bahkan institusi perbankan sendiri.

“Apabila saya membeli rumah (kos rendah) berharga RM42,000 umpamanya, bank pun tahu bahawa harga rumah
itu akan meningkat hampir RM100,000 kelak.

“Dari segi keselamatan, harga rumah ini akan meningkat…mengapa bank tidak mahu membantu Kerajaan Negeri,” soal Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam pada itu, Jerry pada sidang media sama turut mengaku bahawa pemaju sukar menjual rumah mampu milik berharga RM200,000, RM300,000 dan RM400,000 disebabkan permohonan pinjaman perumahan sukar diluluskan oleh bank.

Sebelum itu, Kon Yeow mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merasmikan persidangan dan ekspo hartanah selama dua hari itu.