Exco puji Corporate Environment Responsibility pulihara Bukit Juru

Admin

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH – Laluan mendaki 646 anak tangga ke puncak Bukit Juru yang ditutup lebih 13 tahun lalu dibuka semula untuk aktiviti ekopelancongan mencabar, selepas kerja-kerja pemuliharaan semula dilaksanakan oleh sebuah syarikat korporat baru-baru ini.

Ketika berucap, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memuji inisiatif syarikat berkaitan, IOI Oleochemichal kerana melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

“Apa yang dilakukan oleh IOI Oleochemichal bukan sahaja suatu tanggungjawab sosial korporat, malah CSR yang dianjurkan bersama-sama MPSP dan JKKK ini adalah suatu ‘Corporate Environment Responsibility’,”jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu berhubung Projek Baik Pulih Bukit Juru & Kempen Jom Naik Bukit Juru di sini baru-baru ini.
Turut berucap, Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud serta Pengarah Eksekutif IOI Oleochemichal, Tan Kean Hua.

Ahli Majlis bagi MPSP, P. David Marshel serta wakil Jabatan Perhutanan Negeri turut sertai majlis perasmian yang sebelum itu turut berlangsung aktiviti mendaki bukit serta kerjakerja pemuliharaan di sini.

Rozali ketika berucap memberitahu, Bukit Juru berkeluasan 150 hektar diwartakan sebagai hutan simpan pada bulan Jun 1981.

Namun, jelasnya, Bukit Juru ditutup atas faktor keselamatan, selepas dibuka sebagai kawasan eko-pelancongan.

“Selepas program (pemuliharaan semula kawasan) ini, kita (MPSP) akan meneruskan pelbagai program untuk menjadikan tempat ini (hutan simpan Bukit Juru) satu lagi destinasi eko-pelancongan,” jelas Rozali.