Exco puji inisiatif CSR MPSP & swasta demi alam sekitar

Admin

BAGAN JERMAL – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memuji pendekatan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bersamasama syarikat swasta dalam memastikan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca pada 1 Jun ini lancar.

Terbaru, syarikat peneraju industri pakaian yang terletak di Perai, South Island Garment Sdn. Bhd. (SIG) menyahut seruan Kerajaan Negeri dengan menjadikan pengasingan sisa di punca sebagai dasar syarikat tersebut.

Boon Poh ketika ditemui berkata, usaha MPSP bersama-sama syarikat-syarikat swasta di Pulau Pinang dalam menjayakan dasar tersebut harus dipuji apatah lagi dilaksanakan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Usaha seperti ini, boleh dijadikan contoh kepada syarikat-syarikat swasta lain dalam melaksanakan CSR demi kelestarian alam sekitar.

“Hari ini, SIG telah menjadikan cebisan kain lebihan yang sudah tidak boleh digunakan (untuk membuat pakaian) kepada sesuatu yang bermanfaat seperti beg kain, sekaligus menjana pendapatan tambahan untuk komuniti setempat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek ‘Up-Cycle’ SIG Bersama-sama Komuniti di sini baru-baru ini.

Hadir sama, beberapa Ahli-ahli Majlis MPSP seperti K. Kumar, Alias Wan Chek dan Tan Chee Teong serta Pengurus Besar SIG, Lim Eng Huat dan Pengerusi Koperasi Lestari Alam Sekitar Permatang Nibong, Abdul Rahman Saad. Turut sama,

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Thamby Kecil, Ooi Cheng Poh serta ahli-ahlinya.

Mengulas lanjut, Boon Poh memberitahu, MPSP akan membantu mencari pasaran untuk produk-produk dihasilkan komuniti setempat yang terlibat dalam projek ini.

Pada majlis tersebut, SIG menyerahkan sejumlah 600 meter kain kepada pihak Koperasi Lestari Alam Sekitar Permatang Nibong dan JKKK Thamby Kecil bagi menghasilkan produkproduk berasaskan kain untuk dipasarkan kelak.