Exco terima memorandum bantah ladang ternak khinzir

Admin

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD 

TASEK GELUGOR – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menerima memorandum bantahan terhadap ladang ternakan khinzir di kampung berkenaan daripada lebih 200 penduduk Kampung Selamat yang mengadakan perhimpunan secara aman di sini baru-baru ini.

Bantahan itu adalah susulan kes membabitkan seorang pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selamat, Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, yang disahkan dijangkiti virus Japanese Ensefalitis (JE) baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Kariah Masjid Kampung Selamat, Ismail Hassan, penduduk kampung dan kawasan sekitar berkenaan sudah sekian lama berdepan dengan masalah ladang khinzir yang tidak sistematik.

“Penduduk di sini sudah tidak tahan lagi dengan situasi ini termasuk pencemaran bau busuk dari air sisa kumbahan ladang terutamanya pada musim hujan.

“Diharapkan dengan penyerahan memorandum bantahan ini, Kerajaan Negeri dapat berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini sekaligus menjamin kehidupan yang berkualiti kepada penduduk di sini,” katanya pada perhimpunan aman di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr. Afif berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini.

“Walaupun ada sesetengah pihak cuba menjadikannya sebagai isu perkauman, tetapi bagi saya, ini adalah masalah setempat membabitkan semua kaum yang terlibat.

“Sungguhpun isu untuk memindahkan ladang ini bukanlah sesuatu yang baru, saya tetap panjangkan masalah ini kepada jawatankuasa aduan untuk meneliti perkara ini,” ujar beliau.

Tambah Afif, masih terdapat beberapa perkara berbangkit yang menyebabkan isu pemindahan ladang berkenaan masih tidak dapat dijalankan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Azmie Zakaria mengumumkan keputusan 181 sampel darah dari 20 ladang khinzir di Kampung Selamat adalah negatif dari virus JE.