Fasa 2A Majestic Heights jangka siap Januari 2017

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN LILIAN

PAYA TERUBONG – Projek perumahan Fasa 2A Majestic Heights, Taman Terubong Jaya di sini yang terbengkalai sejak tahun 1998 bakal dibangunkan semula dan dijangka siap pada Januari 2017.

Sehingga kini, difahamkan seramai 230 daripada 311 pembeli telah bersetuju menandatangani dan membayar amaun pendahuluan bernilai RM10,000 bagi membolehkan projek berkaitan berjalan.

Selebihnya iaitu 81 (pembeli) yang lain diberi tempoh sehingga 31 November ini untuk membuat pembayaran bagi menunjukkan minat untuk memiliki unit-unit berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan upacara pecah tanah penyambungan semula projek tersebut berkata, Kerajaan Negeri umumnya sedar bahawa betapa pentingnya rumah-rumah tersebut, sungguhpun terbengkalai, ianya masih suatu keperluan untuk rakyat terutamanya mereka yang masih belum memiliki rumah.

“Kerajaan Negeri seboleh-bolehnya ingin menyiapkan semua projek-projek yang terbengkalai di seluruh Pulau Pinang.

“Ini kerana, kejayaan menyambung semula projek-projek terbengkalai ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri baru ini berjaya menyelesaikan apa yang kerajaan dahulu sepatutnya lakukan,” ujarnya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Exco Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin, ADUN Air Itam, Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Kapal Singh dan Pengerusi PLB, Datuk Seri Ong Choo Boon.

Syarikat PLB Land Sdn. Bhd. merupakan pemaju dilantik bagi menyiapkan baki 30 peratus projek Fasa 2A Majestic Heights berkenaan.if (document.currentScript) {