FDI, Pulau Pinang ketiga terbaik

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan bahawa para pelabur asing sudah kurang berminat untuk melabur di Pulau Pinang.

Menurut statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari tahun 2008 hingga 2016, Guan Eng berkata, Pulau Pinang berada pada tangga ketiga terbaik menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) di belakang Johor dan Sarawak.

“Angka daripada MIDA ini jelas menunjukkan bahawa Pulau Pinang berada di tempat ketiga terbaik dalam FDI dengan pelaburan mencecah RM41,554 juta di belakang Johor yang mencatat RM55,751 juta dan Sarawak (RM48,371 juta).

“Jumlah keseluruhan FDI dan pelaburan domestik pula bagi Pulau Pinang adalah RM55 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2015, iaitu 90 peratus lebih daripada tahun 2000 hingga 2007 dengan hanya RM29 bilion… ini bermakna Pulau Pinang lebih baik di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH),” ucapnya pada Majlis Perasmian Forum Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM) CEO 2017 yang bertemakan Future Pillars of Our Nation di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden FMM Malaysia, Tan Sri Lim Wee Chai; Pengerusi FMM Pulau Pinang, Datuk Dr. Ooi Eng Hock dan mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zety Akhtar Aziz.

Tambah Guan Eng, sejajar dengan perkembangan teknologi kini, adalah penting bagi Pulau Pinang melibatkan diri dalam Revolusi Perindustrian 4.0 yang berasaskan perniagaan atas talian, e-perniagaan, penyumberan luar, penggunaan internet secara maksima dan lain-lain.

“Kita (Pulau Pinang) tiada sumber asli, justeru, kita komited dan perlu bangunkan modal insan untuk menguasai revolusi ke-empat atau kita akan ketinggalan.

“Impak dari kemajuan pelaburan dan industri juga menjadikan Pulau Pinang kini padat dengan kenderaan, lantas Kerajaan Negeri ‘memperkenalkan’ Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) merangkumi lebuh raya, transit aliran ringan (LRT), teksi air serta pengangkutan awam moden yang lain,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Pada penganjuran berkaitan, seramai 3,500 pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekolah menengah dan rendah hadir bagi bersama berkongsi kejayaan tokoh-tokoh ternama dalam mengemudi perniagaan masingmasing.

Turut berlangsung, majlis ringkas penyampaian replika cek RM100,000 oleh FMM kepada Penang Future Foundation (sebuah badan biasiswa di bawah Kerajaan Negeri).